Hafeez Mikail Tonjol Bakat Menyanyi Dalam Busker

20 Disember 2016. 3.48 PM
2,752
Hiburan
Hafeez Mikail Tonjol Bakat Menyanyi Dalam Busker
Pelakon remaja, Hafeez Mikail, 24, berasa sangat gugup apabila menonjolkan bakat menyanyi dalam filem Busker terbitan Astro Shaw.

Menurut Hafeez, bidang nyanyian bukan sinonim dengan dirinya tetapi dalam filem ini dia diminta untuk menyanyi hampir semua lagu.

“Nak kata saya pandai menyanyi nampak macam riak pula, tetapi saya bolehlah menyanyi sekadar mengisi masa lapang di rumah.

“Dalam filem Busker memang saya kena nyanyi sebab jalan ceritanya memang ada babak-babak yang memerlukan saya menyanyikan lagu mengunakan suara saya.

“Memang susah, tetapi dengan bantuan daripada tenaga produksi dan nasihat yang diberikan oleh mereka, saya boleh buat secara normal,” kata Hafeez ditemui Astro Gempak di lokasi penggambaran  filem Busker, di Johor Bahru baru-baru ini.

Tambah Hafeez lagi, Busker merupakan filem pertamanya memegang watak utama dan cabaran yang dilalui itu lebih sukar.

Katanya, berlakon dan menyanyi dalam filem adalah perkara di luar kotak pemikirannya dan masih tidak percaya yang dia boleh melakukannya

“Saya terima tawaran filem ini pun selepas menghadiri sesi ujibakat yang dibuat oleh Astro Shaw.
“Ketika itu saya dengar nama-nama besar turut hadir dalam ujibakat itu seperti Izzue Islam dan Alif
Satar

“Apabila saya dengar nama-nama pelakon itu, potensi saya untuk diterima berlakon memang nampak sukarlah.

“Mereka sudah tentunya memang berbakat untuk berlakon dan menyanyi dalam mana-mana produksi sebelum ini. 

“Alhamdulilah, ini semua rezeki kerana diterima untuk membintangi filem Busker, apa yang saya harapkan filem ini diterima oleh semua pihak apabila ditayangkan nanti,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 
 

Artikel Berkaitan


Komen