Bapa kesayangan kepada pelakon Jasmin Hamid meninggal dunia pada Ahad, 18 Disember, jam 11 pagi.

Perkara itu didedahkan oleh Jasmin menerusi tiga foto yang dimuatnaik melalui akaun instagramnya kira-kira 11 jam yang lalu.

Menurut Jasmin, bapanya mula jatuh sakit selepas pemergian ibunya pada tanggal 26 Mei lalu.

Bagaimanapun Jasmin meluahkan rasa syukur kerana bapanya pergi dengan tenang selain redha dengan ketentuan ilahi.

“As Salam... Tanggal 18 Dec 2016 jam 11am, BABA telah di panggil pulang oleh penciptaNYA. Sekali lagi kami sekeluarga kehilangan orang tua kami. BABA mula jatuh sakit selepas pemergian MAMA tercinta kami pada bulan 26 MEI 2016.

“Saya sekeluarga bersyukur pada Allah kerana BABA pergi dengan mudah dan tenang. Kami redha dengan ketentuan Allah kerana memanggil pulang kedua ibu bapa kami dalam tahun yang sama 2016.

“Terima kasih kepada sanak saudara, kenalan yang datang menziarah dan pada yang menghulurkan Salam Takziah pada kami. Terima kasih juga kepada Doktor dan para jururawat hospital IPR yang sabar merawat BABA ..Terima kasih kepada pihak Masjid Al -Falaq dan Tanah perkuburan USJ 22 yang menguruskan jenazah BABA.

“Saya sebagai anak sulung, mohon maafkan segala kesalahan BABA, halalkan makan minum BABA. Jika BABA ada berhutang dengan sesiapa, sila beritahu saya dan minta beri saya masa untuk selesaikannya agar BABA tenang di sana. Amin,”
tulisnya.



Dalam pada itu menerusi satu entri lain, Jasmin juga memberitahu dia akan memikul tanggungjawab untuk menjaga adik-beradiknya selepas pemergian kedua ibu bapanya.

“Tanggal 18 Dec 2016 dengan dukacitanya kami 3 beradik telah menjadi yatim piatu pada tahun yang sama selepas pemergian MAMA dan di susuli oleh BABA.

“Saya sebagai anak sulung, akan pikul tanggungjawab untuk adik -adik dan anak - anak mengadu nasib dan menumpang kasih sayang.

“Saya sudahpun berjanji pada MAMA dan BABA semasa hidup mereka lagi untuk menjaga keluarga kami sehingga akhir hayat saya.


“Moga MAMA dan BABA tenang di sana bersama orang-orang yang beriman, amin..” tulisnya.

Teks oleh: Mya Amri