Pengarah filem Norazah Sahud mencari wanita bertudung untuk membintangi filem terbaru yang berjudul Mia Tiara.

“Setakat ini, aktres Fathia Latiff telah bersetuju secara verbal mahu memegang watak sebagai model muslimah dalam filem ini. Namun begitu, masih belum ada lagi kata putus dan perjanjian hitam putih.

“Pihak penerbit sedang menunggu keputusan Fathia. Sekiranya tiada rezeki untuk Fathia bekerjasama dengan kami, pencarian pelakon akan dilakukan.

“Kami akan membuka peluang kepada wanita bertudung lain di luar sana menerusi sesi casting dan pihak penerbit akan mengadakan pengumuman dari semasa ke semasa,” kata Norazah kepada Astro Gempak ketika majlis pra-pelancaran filem Mia Tiara baru-baru ini.

Bakal mengangkat tema Islamik, filem Mia Tiara akan bercerita mengenai kehidupan dan pengorbanan seorang wanita yang berhijab.

“Jarang tema sebegini ditampilkan dalam filem tempatan. Pihak penerbit percaya, dengan garapan yang betul, filem Mia Tiara bakal meraih perhatian penggemar filem tempatan.

“Saya berharap agar urusan penggambaran yang bermula pada April tahun depan akan dipermudahkan dan filem Mia Tiara akan mendapat sambutan yang menggalakkan kelak,” katanya lagi.

Filem terbitan Tenview (M) Sdn Bhd ini bakal dibintangi oleh pelakon ternama seperti Eja, Amar Asyraf, Faizal Hussein, Izzue Islam, Julia Ziegler, Hafreez Adam dan Nadiyah Shahab.

Teks oleh: Kamaruddin Razal