Kumpulan muzik popular era 80-an, Headwind pening kepala untuk memilih lagu yang bakal dipersembahkan dalam persembahan reunion mereka.

Headwind akan bersatu semula sebagai sebuah kumpulan dalam salah sebuah segmen bagi konsert 'The Musical Journey of Zainal Abidin - 35th Anniversary Concert' yang bakal berlangsung tahun hadapan.

"Memandangkan kami sudah lama tidak bersatu sebagai Headwind, ramai peminat yang bertanya bilakah kami akan mengadakan persembahan semula.

"Alhamdulillah, akhirnya harapan peminat bakal menjadi kenyataan kerana konsert ulang tahun ke-35 penglibatan saya dalam industri muzik menjadi medan penyatuan kami.

"Saya bakal menyampaikan lagu-lagu solo saya di konsert tersebut dan menerusi sebuah segmen istimewa, saya menampilkan aggota asal kumpulan Headwind untuk menghiburkan penonton yang hadir.

"Kami sudah pening untuk memilih lagu mana yang akan dipersembahkan pada segmen itu kelak. Banyak lagu-lagu hits Headwind berada dalam senarai tetapi jika kami persembahkan semua, pastinya tidak cukup masa," kata Zainal Abidin mewakili kumpulan Headwind.

Turut dianggotai oleh Zulkifli Kasim, Nicky Oii, Kudin dan Abdul Razak Salleh, Headwind bakal menyajikan lagu popular mereka dalam bentuk medley.

"Untuk memuaskan hati peminat, ada lagu Headwind akan kami persembahkan secara solo dan medley. Saya dan anggota Headwind yang lain berharap agar kerinduan peminat terubat di konsert itu nanti," katanya lagi.

'The Musical Journey of Zainal Abidin - 35th Anniversary Concert' bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 25 Februari 2017.

Dapatkan tiket yang bermula dengan harga RM158 sehingga RM958 di laman web www.mytickets.asia.

Teks oleh: Kamaruddin Razal