Penyanyi dan pelakon remaja, Daiyan Trisha terkejut dan teruja apabila menerima tawaran berlakon filem Busker selepas dua tahun berehat daripada sebarang aktiviti seni.

Menurut Daiyan, dia menerima tawaran itu kerana ia merupakan pengalaman pertamanya untuk membintangi sebuah filem.

“Apabila menerima panggilan yang saya ditawarkan untuk berlakon Busker memang terkejut, sebab saya rasa macam tak dapat selepas pergi uji bakat.

“Alhamdulilah, ini semua rezeki dan pihak produksi memang mencari wajah-wajah baru untuk mewarnai filem Buskers.

“Sepanjang berada di set filem, saya banyak dapat tunjuk ajar dengan pihak produksi yang banyak membantu saya menghayati watak yang diberikan,” kata Daiyan yang ditemui Astro Gempak di lokasi penggambaran filem Busker, di Johor Baharu, Johor.

Tambah Daiyan lagi, berlakon filem sememangnya berlainan dan mencabar lebih-lebih lagi reaksi wajah yang perlu ditonjolkan di hadapan kamera.

Kerana baginya kesilapan amat mudah dikesan jika melakukan kesilapan dan perlu diperbaiki segera agar ia nampak semulajadi serta tidak terlalu ‘over’.

“Mula-mula memang rasa gementar, walaupun saya ada pengalaman berlakon dalam drama siri TV, tetapi untuk filem ia 100 peratus berbeza.

“Apa tip yang saya peroleh ialah kena banyak bertenang, jangan terlalu terlaju untuk berdialog dan sentiasa kekalkan ‘chemistry’ antara pelakon terlibat.

“Barulah perjalanan babak yang saya lakonkan itu berlangsung dengan lancar dan teratur,” katanya.

Menyentuh karier nyanyian, Daiyan bakal terbitkan single terbaru yang berjudul Kita Manusia hasil ciptaan Daiyan dan Omar K.

Ia akan mula diperdengarkan kepada semua selewat-lewatnya awal Januari 2017.