Bayaran Meningkat Selepas Menang, Harith Iskander Serah Kepada Pengurus

16 Disember 2016. 4.46 PM
3,539
Hiburan
Bayaran Meningkat Selepas Menang, Harith Iskander Serah Kepada Pengurus

Pelawak dan pengacara, Harith Iskander menyerahkan kepada pengurusnya untuk meneliti semula soal bayaran selepas berjaya menjuarai Anugerah Manusia Paling Lucu 2016 di Finland, baru-baru ini.
 
Bagaimanapun menurut Harith, soal bayaran bukan perkara utama sebaliknya pengiktirafan dunia itu telah membuatkan dirinya bekerja dengan lebih kuat lagi.
 
“Tak terfikir pun nak tingkatkan bayaran dalam mana-mana persembahan selepas ini, kejayaan yang saya peroleh ini adalah kejayaan semua.
 
“Perkara utama yang saya fikirkan sekarang ialah nak luangkan masa dengan anak-anak yang dah lama saya tingggalkan sepanjang saya berada di sana.
 
“Jadi, anugerah yang saya terima ini membuatkan saya lebih bersemangat dan menghasilkan lawak jenaka yang lebih menghiburkan,” kata Harith kepada Astro Gempak baru-baru ini.
 
Dalam pada itu, Harith juga telah menerima tawaran daripada Laugh of Factory untuk mengadakan persembahan di sana.
 
Selain membuat persembahan, dia juga akan ditemuramah oleh wakil media di sana berserta dengan promosi yang akan dijalankan oleh agen yang dilantik.
 
“Saya perlu membuat persembahan sebanyak 10 kali di pentas Laugh of Factory, dan saya yang kena pilih waktu dan masa yang sesuai.
 
“Pihak di sana memberi kebebasan kepada saya untuk memilih tarikh yang sesuai terutama pada tahun hadapan.
 
“Untuk merealisasikan persembahan itu, saya kena semak balik jadual saya slot mana yang sesuai untuk pergi sana,” katanya.
 
Harith Iskander juga bakal bergandingan dengan Adibah Noor untuk mengacarakan anugerah berprestij iaitu Anugerah Industri Muzik 22 (AIM22).
 
Ia disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan disiakan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada Ahad ini jam 9 malam.

Teks Oleh: Ishahrulddin Tahir


Artikel Berkaitan


Komen