Penyanyi, Shiha Zikir mendedahkan dia pernah dipaksa untuk mencetuskan kontroversi murahan oleh pihak tidak bertanggungjawab demi meraih populariti segera.

Shiha bagaimanapun memberitahu dia menolak untuk melakukannya, sebaliknya percaya kepada rezeki Tuhan.

"Saya sedar perjalanan saya sebagai anak seni dalam industri muzik di Malaysia agak kurang mendapat perhatian berbanding apa yang saya terima sekarang di Indonesia.

"Namun rezeki saya dalam bidang nyanyian tidak pernah berhenti, walaupun tidak muncul di kaca televisyen namun show saya masih berjalan macam biasa daripada dulu.

"Saya tak cari populariti tetapi kalau saya nak, sebenarnya saya sendiri boleh cipta kontroversi bila-bila masa sahaja.

"Malah, ketika di awal pembabitan saya dalam industri saya pernah dipaksa oleh seseorang untuk cipta kontroversi murahan yang mana dia minta saya mengaku sedang bercinta dengan seorang lelaki yang bergelar Datuk dan sebagainya.

"Saya menolak, kerana saya percaya Allah itu sudah tentukan rezeki masing-masing," katanya kepada Astro Gempak.

Kini, Shiha beryukur kerana namanya lebih dikenali dan meraih populariti yang tinggi di Indonesia selepas menyertai pertandingan D'Academy Asia di negara seberang itu.

"Saya tak sangka apabila kini saya diterima dalam industri muzik di Indonesia dan mempunyai peminat di sana.

"Terus-terang pada mulanya saya bayangkan mereka susah untuk menerima orang luar tetapi kini ia berlaku disebaliknya, malah mereka menyambut kedatangan saya di sana.

"Saya akan menggunakan peluang ini sebaik-baiknya kerana beberapa peracangan telah diatur di sana pada tahun hadapan," katanya lagi.

Shiha dalam proses merakamkan single terbarunya di Indonesia untuk pasaran di Malaysia serta di sana pada tahun hadapan.

Teks oleh: Syafiqah Jalal