Penyanyi Kaka Azraff mengakui memberikan jawapan “ya” ketika Awi Rafael melamarnya beberapa bulan lalu.

Pelantun lagu Bukan Hal Aku itu berkata, Awi telah bertemunya pada bulan September lepas dan bertanya sama ada dia bersetuju untuk menjadi pasangannya.

“Ya, Awi ada bertemu dan melamar saya beberapa bulan lepas, dan saya terus jawab “yes”! Tapi Awi bukan ajak bercinta, dia mahu saya jadi teman duetnya dalam program terbaru terbitan Astro iaitu Duo Star.

“Saya tidak teragak-agak untuk jawab ya kerana selepas meneliti format program berkenaan, ia sangat menarik dan lain daripada program realiti sedia ada.

“Lagipun saya dan Awi sudah lama kenal dan kami pernah bekerjasama, jadi tidak sukar untuk kami mencari “chemistry”,” kata Kaka ketika ditemui Astro Gempak.

Ketika ditanya tentang gosip cintanya dan Awi, Kaka memberitahu keakraban di antara mereka telah disalah erti oleh sesetengah pihak, tambahan lagi apabila peminat mula mewujudkan hashtag #kakawi di laman sosial Instagram.



"Hubungan di antara kami tidak melibatkan soal hati dan perasaan dan apa yang diperkatakan sebelum ini tentang kami hanyalah salah faham.

"Apabila berkaitan dengan kerja saya seorang profesional dan tidak pandai mencampur-adukkan dengan perihal peribadi.

"Tiada putik-putik cinta dan hubungan kami hanyalah sekadar rakan biasa sahaja," ujarnya.

Sementara itu Awi Rafael ketika ditemui bersama Kaka memberitahu, dia tidak pernah mengambil serius tentang gosip yang melibatkan dirinya kerana mahu memberikan fokus kepada kerjayanya sebagai penyanyi, penulis lirik dan komposer.

“Saya tidak kisah tentang gosip kerana dalam hidup saya, kerja itu lebih penting. Lagipun memang benar kata Kaka, kami selalu bersama kerana Duo Star.

“Malah saya bersyukur kerana, para peminat juga bersetuju kami menjadi pasangan duet dan menyokong kami sehingga mewujudkan hashtag #kakawi di Instagram.

“Saya selesa berkawan dengan Kaka sejak dahulu lagi kerana kami mempunyai pemikiran dan pandangan sama dalam pelbagai hal, dalam erti kata lain ‘sekepala’,” katanya ketawa.

Dalam perkembangan lain, Kaka berkata dia kini sedang dalam proses menyiapkan single terbarunya dan bakal merakamkan sebuah lagu duet bersama Awi sebagai lanjutan kepada gabungan mereka di pentas Duo Star.

Duo Star bakal bersiaran bermula 25 Disember depan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada pukul 9 malam.