Pelakon Lisa Surihani menjelaskan tidak mengalami alahan teruk ketika mengandungkan anak keduanya.

Menurut Lisa Surihani, alahan yang dialaminya kini tidak seteruk ketika dia mengandungkan anak pertamanya.

"Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang alahan yang teruk ketika mengandungkan anak yang kedua ini.

"Ia amat berbeza sekali kerana ketika mengandungkan yang pertama, saya akan mengalami alahan pada setiap pagi dengan teruk sekali dan dia boleh menyebabkan sakit selama seharian.

"Namun, untuk yang kedua ini ia tidak begitu teruk dan akan datang secara tidak tentu masa.

"Maksudnya sekarang kalau alahan itu nak datang ia akan datang tetapi bukanlah setiap hari seperti pada 10 minggu yang pertama," katanya kepada Astro Gempak.

Lisa berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan kandungan dan kesihatannya yang kini sudah memasuki trimester kedua.

Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 29, dan Yusry Abdul Halim, 42, bernikah pada 23 Februari 2012.

Mereka telah dikurniakan seorang puteri sulung bernama Yahaira Leanne yang dilahirkan pada 15 September 2015.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi