Afdlin Shauki Buka Cawangan Kedua Comedy Planet, Patuh Syariah

15 Disember 2016. 4.32 PM
5,432
Hiburan
Afdlin Shauki Buka Cawangan Kedua Comedy Planet, Patuh Syariah

Selepas membuka restoran berkonsepkan komedi di Kilang Bateri, Johor Bahru, pelakon dan pelawak Afdlin Shauki melebarkan sayap perniagaannya itu dengan membuka cawangan kedua di Great Eastern Mall, Ampang.

Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 45, berkata, restoran yang diberi nama Comedy Planet itu turut menghidangkan persembahan komedi dari pelawak-pelawak profesional dan amatur dari seluruh negara.

Tambah Afdlin, itu antara sebab Comedy Planet menyediakan ruang pentas kerana mahu memudahkan ‘pelanggan’ berkongsi hiburan jenaka, berpuisi dan mengetengahkan bakat seni mereka.

Selain kelainan tersebut, Afdlin turut mengetengahkan Comedy Planat sebagai sebuah restoran yang patuh syariah.

"Sekarang ini saya lihat kebanyakan pusat hiburan di serata Malaysia menumpukan kepada persembahan kugiran dan nyanyian sahaja.

"Saya ingin membawa kelainan di sini iaitu dengan menyediakan pentas untuk hiburan jenaka, puisi, improvisasi dan perkongsian di persembahkan.

"Comedy Planet juga akan membuka peluang kepada orang ramai yang boleh berlawak dan mencuba menonjolkan bakat mereka pada malam Open Mike di mana pelawak-pelawak amatur di beri ruang untuk memenangi hadiah wang ringgit untuk persembahan mereka," katanya.

Tambah Afdlin, dia turut mengundang pelawak-pelawak terkenal untuk membuat persembahan di restoran berkenaan.

“Untuk memeriahkan lagi Comedy Planet, saya turut mengundang rakan-rakan pelawak tanah air untuk mengadakan persembahan seperti ‘stand up comedy’ dan berlawak secara spontan di sini.

“Selain pelawak, rakan-rakan selebriti seperti pelakon dan penyanyi juga turut dijemput untuk menghiburkan pelanggan dengan puisi, spontan dan tazkirah,” ujarnya.

Menariknya Comedy Planet, selain persembahan pentas pengunjung juga akan disajikan dengan hidangan makanan dengan nama yang unik.

"Saya memberi kelainan kepada pengunjung dalam hidangan masakan Melayu dan Western yang juga mempunyai nama-nama yang unik selaras dengan konsep komedi.

"Antaranya ialah Sup Tulang Merah Tanda Berhenti, Gado-gado balik rumah, Silence of the lamb shoulder, Air Kera di Hutan Disusukan, Air Pak Leman Kesejukan di Kebun Teh, Dessert Serabai Mabai Terabai K-Bye, Nasi Lemak Konfius Mak Dengan Sambal Squidworth dan banyak lagi," katanya kepada Astro Gempak ketika majlis pembukaan restoran tersebut, baru-baru ini.

Comey Planet turut menyediakan tempat kepada pengunjung yang mahu mengadakan majlis perkahwinan, hari jadi, majlis korporat, makan malam dan apa apa acara rasmi atau tidak rasmi yang juga bertemakan komedi santai sesuai sebagai pusat hiburan berbentuk kekeluargaan.

Untuk tempahan dan pertanyaan lanjut anda boleh hubungi Naquib (018-9035477) atau Hani (012-2088334).


Artikel Berkaitan


Komen