Penyanyi Nubhan mengaku kekurangan ilmu mengenai selok belok perniagaan membuatkan perniagaannya hampir di tutup.

Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 30, berkata, pelbagai cabaran yang dihadapi membuatkan dia hampir putus asa untuk meneruskan perniagaan kosmetik miliknya iaitu Juwita Divine.

"Sebenarnya saya hampir putus asa untuk meneruskan perniagaan ini kerana kekurangan pengalaman dalam menjalankan perniagaan.

"Biasalah, ketika mula berniaga, kurang ilmu dan pengalaman membuatkan bisnes yang saya usahakan hampir gagal.

"Banyak sebenarnya cabaran yang harus saya lalui sebagai orang baharu untuk memulakan perniagaan antaranya adalah kegagalan membuat keputusan dengan baik sehingga ia menjadi faktor produk keluaran saya hampir gagal," katanya.

Nubhan berkata demikian pada majlis penjenamaan semula Juwita Divine yang diadakan di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, baru-baru ini.

Tambah Nubhan, antara cabaran lain yang perlu dia hadapi adalah permainan harga pasaran dan kawalan perniagaan membuatkan produk itu sukar bersaing di pasaran ketika awal-awal ia dilancarkan.

Malah kata Nubhan, cabaran untuk membangunkan produk keluarannya itu juga membuatkan dia menjadi lebih matang dan peka mengenai selok-belok dunia perniagaan.


Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi