Penyanyi rap, Altimet mencabar dirinya sendiri dengan menyiapkan album studio terbarunya dalam masa sebulan.

Mengandungi sembilan buah lagu, album solo terbaru Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman, 38, ini diberi judul Amboi.

"Sebelum ini, album solo saya yang berjudul Kotarayaku mengambil masa dua sehingga tiga tahun untuk disudahkan.

"Menerusi album Amboi, saya mencabar diri sendiri. Saya meletakkan sasaran menyiapkan album ini selama sebulan sahaja dan Alhamdulillah, saya berjaya mencapai sasaran saya,” kata Altimet kepada Astro Gempak.

Walaupun mengambil masa singkat, Altimet masih mementingkan kualiti lagu yang terkandung dalam album Amboi.

“Saya tidak menghasilkan album ini sambil lewa walaupun album ini disiapkan dalam masa sebulan sahaja. Saya mementingkan kualiti.

“Saya memastikan penghasilan album ini terjadi dalam keadaan yang baik. Akhirnya, saya dapat menyiapkan 12 buah lagu tetapi hanya sembilan lagu yang berkualiti sahaja yang muatkan dalam album ini. Baki tiga buah lagu saya tidak muatkan dalam album Amboi kerana kualitinya kurang memuaskan,” katanya lagi.

Album Amboi mengandungi lagu ciptaan komposer seperti Noh Salleh, DJ Fuzz, Sona One dan ramai lagi manakala semua lirik lagu yang terkandung dalam album ini merupakan ciptaan Altimet sendiri.

Single pertama yang juga berjudul Amboi sudah dilancarkan baru-baru ini dan mendapat sambutan positif. Muzik video lagu Amboi juga sudah boleh disaksikan di laman YouTube.

Teks oleh: Kamaruddin Razal