Noraniza Idris Belum Bersedia Berduet Dengan Anak Sendiri

13 Disember 2016. 12.22 PM
52,960
Hiburan
Noraniza Idris Belum Bersedia Berduet Dengan Anak Sendiri
Penyanyi irama tradisional, Noraniza Idris mengakui belum bersedia untuk berduet dengan anaknya, Alfeq Haiqal untuk mana-mana lagu dalam waktu terdekat.

Noraniza berkata genre lagu yang Haiqal bawakan lebih kepada berentak R&B bukan irama tradisional yang dijuangkan lebih 30 tahun.

“Saya rasa belum tiba masanya lagi untuk berduet dengan Haiqal, saya nak dia berjaya dengan usaha sendiri tanpa dibayangi dengan genre lagu yang saya bawakan.

“Lagipun dia pun ada impian tersendiri iaitu ingin berjaya dalam bidang muzik seperti Yuna dan nama-nama besar yang lain.

“Cuma apa yang saya boleh tolong ialah, saya akan bawa dia sekali dalam mana-mana acara untuk menjadi pengacara agar dia terdedah dengan orang luar.

“Sekaligus boleh menambahkan keyakinan Haqal untuk berkomunikasi dengan penonton dan mengenali lagi dengan ramai orang,” kata Noraniza Idris ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Menyentuh karier nyanyian Noraniza Idris, pada 15 Januari tahun depan dia bakal muncul dengan single terbaru ciptaan Amir Jauhari dan lirik ditulis oleh Fedtri Yahya.

Judul lagu itu tidak dikongsikan kerana ia akan diperkenalkan menerusi program realiti nyanyian TV nanti.

“Saya faham irama tradisional memang ada pasang surutnya, tapi saya tetap memperjuangkan irama ini dengan mengadakan jelajah dan sesi turun padang dengan mesej selamatkan irama Malaysia.

“Apa yang saya harapkan, irama Malaysia terus kekal sampai bila-bila kerana ia satu-satunya lambang kesenian dan budaya kita yang wajar dipelihara,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir
 
 

Artikel Berkaitan


Komen