Nabil Ahmad Bakal Berlakon Filem Produksi Sendiri

13 Disember 2016. 11.57 AM
10,329
Hiburan
Nabil Ahmad Bakal Berlakon Filem Produksi Sendiri
Pelakon dan pengacara, Nabil Ahmad memberitahu bakal berlakon dalam filem terbitan produksinya dalam masa terdekat ini.

Nabil berkata, dia juga tidak akan membintangi mana-mana filem daripada produksi lain.

Bagaimanapun katanya, judul filem tersebut masih belum ditentukan lagi walaupun skrip dan jalan cerita adalah hasil ideanya sendiri.

“Sudah tiba masanya saya menjinakkan diri untuk menerbitkan filem sendiri setelah mendapat sokongan daripada kawan-kawan dan keluarga.

“Pada mulanya rasa berat untuk membuat keputusan itu, tetapi orang yang rapat dengan saya memberi keyakinan dan mengatakan saya mampu dan lakukannya.

“Untuk terbitkan filem, perlu mengambil masa yang lama dan saya kena banyak bersabar lebih-lebih untuk hasil skrip sendiri, memang kena kreatif,” kata Nabil ketika ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Tambah Nabil lagi, disebabkan keinginan untuk menerbitkan filem, dia telah menolak semua tawaran berlakon drama, telefilem mahupun filem sebaliknya memberi fokus kepada bidang pengacaraan agar mempunyai masa untuk mengurus syarikat produksinya, Nabil Production Sdn Bhd.

“Saya dah minta dengan pengurus saya untuk menolak mana-mana tawaran berlakon dan ramai pihak memahami keputusan saya.

“Alhamdulilah, tawaran dalam bidang pengacaraan tidak putus dan saya juga bakal terlibat dengan sebuah program lawak pada tahun hadapan, sebagai pengacara.

“Program lawak itu masih dalam proses perbincangan dengan tenaga kerja yang terlibat,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 
 

Artikel Berkaitan