Pelawak dan pengacara, Harith Iskander diumumkan sebagai juara pertandingan Funniest Person in the World (TFPW) yang diadakan di Finland pada Sabtu, jam 3 petang tadi waktu Malaysia.

Harith mengharumkan nama Malaysia dengan menewaskan empat pelawak dunia lain iaitu Alex Calleja daripada Filipina, Mino Van Nassau (India), David Kilimnick (Israel) dan Katerina Vrana (Greece).

Menerusi laman sosial Instagram rasmi penganjurnya, Laugh Factory telah mengumumkan pengacara Obliviously Harith Iskander itu sebagai pemenang pertandingan tersebut.

Kemenangan tersebut melayakkan Harith membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD$100,000 (RM444,845).

TFPW adalah sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Laugh Factory iaitu sebuah rangkaian lawak global berpangkalan di Amerika Syarikat.

Terdahulu, Harith bersama peserta lain membuat persembahan pada peringkat akhir pertandingan itu di Polo Arena di Levi, Finland pada 8 Disember lalu.

Pemenang dipilih menerusi undian dalam talian dari seluruh dunia yang dibuka selama 24 jam selepas persembahan peringkat akhir selesai.

Harith terdahulu mengalahkan 88 pelawak lain dari seluruh dunia termasuk peserta dari Malaysia, Dr Jason Leong untuk mara ke peringkat akhir.

Teks oleh: Syafiqah Jalal