Tepati Ramalan, Danial Juara Lawak Solo Musim Pertama

10 Disember 2016. 12.00 AM
64,770
Hiburan
Tepati Ramalan, Danial Juara Lawak Solo Musim Pertama
Menepati ramalan ramai, Danial telah dinobatkan sebagai juara  program realiti Lawak Solo musim pertama.

Kemenangan pada malam ini (Jumaat), melayakkan Danial atau nama sebenarnya, Mohamad Danial Mohd Zaini yang berasal dari Bayan Baru,  Pulau Pinang berjaya memenangi hadiah berupa wang tunai RM80,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Kemenangan Danial sudah dijangka banyak pihak kerana telah memberikan persembahan terbaik dan konsisten sepanjang lapan minggu bersaing di pentas Lawak Solo.

Manakala Naib Johan menjadi milik Mad Sabah sekaligus memenangi wang tunai sebanyak RM40,000 berserta trofi.

Sementara Fikry menduduki tempat ketiga yang turut membawa pulang wang tunai RM20,000 dan trofi.

 AG Hafiz terpaksa berpuas hati berada di tempat keempat dengan membawa pulang wang saguhati sebanyak RM 10,000 dan trofi.

Lawak Solo telah bersiaran dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS dan ditayangkan secara ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134).

Untuk malam akhir tersebut, setiap peserta telah diminta menyampaikan dua tugasan iaitu secara solo dengan dua tema berbeza iaitu Bebas dan Hiburan.

Antara artis yang hadir memberikan sokongan ialah Jihan Muse, Adlin Aman Ramli, Rahim Sepahtu, Shahrul Syiro dan Azharina.

Pelakon Erra Fazira telah dijemput sebagai juri jemputan bergandingan bersama dua orang juri tetap iaitu Datuk AC Mizal dan Saiful Apek.

Program ini dihoskan oleh Johan, manakala Fad Bocey juga turut memeriahkan Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee.

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air.


Teks oleh: Rozaimi Zubaidi


 

Artikel Berkaitan


Komen