Aepul Drama Band Bakal Keluar Single Bersama Fiq & Aweera

9 Disember 2016. 8.30 PM
13,757
Hiburan
Aepul Drama Band Bakal Keluar Single Bersama Fiq & Aweera
Vokalis kumpulan Drama Band, Aepul bakal muncul dengan single baru bersama dengan penyanyi Fiq dan Aweera.

“Saya, Fiq dan juga Aweera memang bersahabat baik di luar. Kami selalu lepak bersama. Idea itu muncul apabila kami selalu bertemu dan kami terfikir untuk ada single bersama.

“Saya ada menyimpan sebuah lagu ciptaan sendiri dan lagu tersebut belum lagi dirakamkan oleh mana-mana artis. Jadi apa salahnya jika saya merakamkan lagu itu bersama Fiq dan Aweera. Lagu tersebut berjudul Selamatkan Aku.

“Jika tiada sebarang halangan, Insya-Allah, lagu Selamatkan Aku bakal dirakamkan pada awal Januari depan. Saya berharap lagu ini akan menerima maklumbalas positif dari peminat,” kata Aepul kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Aepul juga berkongsi debarannya menanti penerimaan peminat mengenai gandingannya bersama Haiza dalam program Duo Star.

“Ini merupakan kerjasama pertama saya bersama Haiza. Haiza merupakan seorang penyanyi yang sangat berbakat, bukan sahaja boleh menyanyikan lagu irama dangdut, malah Haiza juga berkebolahan menyanyi dalam lagu irama lain.

“Saya berharap agar gandingan saya bersama Haiza akan membuahkan hasil. Jangan lupa untuk menonton program Duo Star yang bakal bersiaran pada penghujung Disember ini,” katanya lagi.

Pengacara terkemuka, Datuk AC Mizal menggalas tanggungjawab sebagai hos Duo Star. Pengarah Muzik, Datuk Acis, penyanyi Datuk Hattan dan Adibah Noor pula duduk di kerusi juri profesional.

Duo Star bakal bersiaran bermula 25 Disember depan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada jam 9.00 malam.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Artikel Berkaitan