Miss K mendapat kiriman e-mel yang datangnya dari seorang wanita yang menggelarkan dirinya Cik Hijabi.

Kata Cik Hijabi, dia kesal dengan kelakuan seorang penyampai radio, Ira Mohd Amin yang kini kembali membuka tudung.

Tanpa berlengah masa, Miss K terus buka laman Instagram dan singgah terus ke akaun milik Ira.

Mula-mula Miss K pelik, eh, Ira ni post gambar throwback ke? Sebab gambar pertama yang Miss K tengok adalah gambar Ira yang tidak berhijab.

Setahu Miss K, Ira dah lama dah memakai tudung, semenjak dia masih bekerja di Era FM lagi.

Selak punya selak, betullah, Ira kini kembali free-hair dan tidak lagi memakai tudung. Ada beberapa foto menunjukkan Ira menampakkan rambutnya.

Miss K tak puas hati, Miss K terus semak pula laman Instagram stesen radio IM4U FM, tempat Ira bekerja sekarang.

Tepat apa yang disampaikan oleh Cik Hijabi, Ira memang dah tak bertudung sebab foto Ira dalam Instagram IM4U FM pun foto Ira yang mendedahkan rambutnya. Takkan laman Instagram stesen radio pun nak muatnaik gambar throwback kan?

Patutlah dalam kandungan e-mel, Cik Hijabi meluahkan rasa kecewa. Cik Hijabi kesal Ira seperti memainkan hijab, sekejap pakai, sekejap buka. Cik Hijabi juga siap berpesan kepada Ira yang jangan ingat tudung itu hanya sebagai kain yang menutup kepala sahaja.

Seingat Miss K, pada tahun 2014 pun sudah timbul isu Ira buka tudung ketika melepak bersama Nana Mahazan.

Selepas menerima kecaman, Ira kembali mengenakan hijab dan kesal dengan tindakannya.

Kali ini, di penghujung 2016, Ira seakan nekad pula memuatnaik gambar tidak bertudung di laman Instagram dan untuk mengelak kecaman, ruangan komen beberapa foto Ira tidak berhijab telah ditutup.

Maknanya, Ira yang dulunya free-hair berubah berhijab, kembali free-hair sekejap, lepas tu berhijab semula selepas dikecam dan kini, Ira kembali free-hair semula.

Apa-apapun, Miss K hanya boleh memerhatikan sahaja dan berdoa yang murni-murni untuk Ira. Kita sendiri tak tahu apa yang Ira lalui, jadi lebih baik kita diam daripada memberikan komen lanjut.

Miss K suka untuk memetik kata-kata Elfira Loy yang ditemubual sewaktu kecoh isu Uqasha Senrose buka tudung.

"Ujian datang dalam pelbagai bentuk dan ujian adalah untuk semua manusia. Mungkin apa yang orang lain lihat adalah seorang individu sedang berhadapan dengan ujian, tetapi sebaliknya, tiada siapa yang tahu.

“Mungkin sebenarnya kita yang sedang diberikan ujian dan Allah mahu melihat sejauh mana reaksi kita terhadap perkara ini. Sejauh mana kita mampu untuk menjaga perbuatan serta percakapan daripada tidak berkata buruk dan memberikan respon negatif terhadap perkara ini.

"Bimbingan serta kata-kata nasihat secara positif harus diberikan, bukannya menghentam dan bersikap negatif. Kita tidak tahu apa yang dia rasakan dan apa yang dilalui olehnya. Kita tidak berada di tempatnya. Sekiranya kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan terjadi, lebih baik diam," kata Elfira.

Miss K: Suka tengok lakonan Aaron Aziz dalam drama bersiri Isteri Tuan Ihsan yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

*Jika ada sebarang gossip atau cerita yang ingin disampaikan kepada Miss K, e-mel Miss K di [email protected] ya!