Penyanyi dan pelakon, Wanna Ali, 19, akui memperlahankan karier nyanyian dan lakonannya kerana fokus kepada pengajian di University of Nottingham Malaysia Campus, Semenyih Selangor.

Wanna berkata tujuan utama dia menyambung pengajiannya kerana ingin mengejar cita-cita sebagai ahli perniagaan wanita.

“Saya baru tahun pertama belajar di universiti dan ada lagi 3 tahun untuk saya tamatkan pengajian Ijazah Pengurusan di bawah Fakulti Seni dan Sains Kemanusiaan ini.

“Disebabkan terikat dengan jadual kelas yang padat, aktiviti seni saya terpaksa diperlahankan demi pelajaran saya.

“Tawaran untuk menyanyi memang ada tapi selalunya saya buat pada hujung minggu, tapi kalau ia minggu peperiksaan, saya terpaksa menolaknya,” kata Wanna ketika ditemui Astro Gempak pada Majlis Tayangan Perdana Filem Bopeng.

Tambah Wanna lagi, walaupun sibuk dengan pengajiannya di universiti, dia masih berminat untuk meneruskan kariernya dalam bidang seni terutama nyanyian.

“Saya masih muda, tiada istilah putus asa untuk menyanyi dan berlakon dalam mana-mana drama atau filem.

“Lepas saya habis belajar, saya akan fokus dengan karier seni dan pada masa yang sama mencari ruang yang sesuai untuk menjadi ahli perniagaan wanita,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir