Nabil Ahmad Harap Finalis Lawak Solo Dapat Perhatian Penggiat Hiburan

9 Disember 2016. 10.54 AM
7,601
Hiburan
Nabil Ahmad Harap Finalis Lawak Solo Dapat Perhatian Penggiat Hiburan
Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad berharap agar finalis dan peserta Lawak Solo mendapat perhatian agar bakat mereka tidak dipersiakan.

Nabil berkata, bukan mudah untuk membuat lawak bersendirian kerana memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk membuat orang lain ketawa.

“Saya selalu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada finalis Lawak Solo untuk memantapkan lagi bakat yang dikurniakan.

“Memang kerja melawak bukan kerja senang, tapi kena peka dengan keadaan sekeliling tentang apa yang berlaku supaya boleh menberi idea kepada persembahan kita.

“Harapan saya memang tinggi, lebih-lebih lagi selepas berakhirnya program ini, agar mereka mendapat tempat dalam mana-mana platform industri hiburan tanah air tidak kira mengacara, berlakon atau penyampai radio,” kata Nabil ditemui Astro Gempak di Majlis Tayangan Perdana Filem Bopeng.

Tambah Nabil lagi, potensi finalis lawak solo memang terlalu besar dan mampu memberi saingan kepada pelawak-pelawak sedia ada.

“Pelawak solo agak kurang dan tidak ramai, jadi mereka ini umpama pelapis kepada generasi baru selepas program Raja Lawak yang sebelum ini.

“Sokongan daripada saya memang tidak henti-henti berikan kerana saya juga dilahirkan daripada program yang serupa.

“Semoga finalis Lawak Solo dimurahkan rezeki selepas ini dan saya harap mereka janganlah mudah putus asa dalam bidang ini,” katanya. 

Jangan lupa menonton peringkat akhir Lawak Solo disiarkan secara langsung dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada hari ini jam 10 malam, menerusi Saluran Astro Warna (132) dan tayangan serentak di Mustika HD (134).

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 
 

Artikel Berkaitan


Komen