Tekanan Finalis Pencetus Ummah 4, Di Pentas Final Malam Ini

8 Disember 2016. 6.40 PM
4,007
Hiburan
Tekanan Finalis Pencetus Ummah 4, Di Pentas Final Malam Ini
Debaran empat finalis Pencetus Ummah 4 (PU 4) bakal terjawab pada malam ini selepas enam minggu bersaing.

Empat finalis PU 4 iaitu PU Mizi, PU Zul, PU Akram dan PU Raihan telah diberikan dua tugasan iaitu di pusingan solo dan duet.

Finalis juga perlu berusaha menggunakan pelbagai platform dan ilmu yang dimiliki untuk menyampaikan dakwah yang berkesan serta menarik.

Mereka juga perlu bijak menyampaikan tazkirah berdasarkan tajuk tugasan masing-masing.

PU Mizi, 41, atau nama sebenarnya Nor Hamizi Jamaluddin, 41, berkata, walaupun sudah biasa menyampaikan tazkirah di surau dan majlis ilmu tekanan di pentas final tetap dirasai.

Pegawai Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang itu turut mengakui finalis lain semuanya hebat selain mempunyai idea baru yang sukar dijangka ketika beraksi di pentas.

Sementara itu PU Zul, 41, pula tidak menyangka bakal berentap di pusingan akhir dan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk bergelar juara.

Tambah guru di Sekolah Menengah Agama Al-Yusufiah itu, sepanjang berada dalam pertandingan ini, dia melihat peningkatan ketara persembahannya hasil didikan dan tunjuk ajar Fauziah Nawi.

Sementara itu, PU Raihan berkata, meskipun setiap minggu berada di kedudukan tiga terbawah dan melalui cabaran Medan Fikrah sebanyak lima kali, dia tetap terus berjuang dan berusaha keras memperbaiki mutu persembahan sehingga layak beraksi di pentas final.

PU Raihan juga bakal menggunakan pengalaman sebagai pengajar mualaf sepanjang setahun berkhidmat di Kompleks Al Saadah, Negeri Sembilan untuk mengupas topiknya pada malam ini.

Bagi PU Akram pula, dia antara finalis yang masih ‘hijau’ dalam dunia dakwah berbanding peserta lain yang jauh lebih berpengalaman.

Pun begitu, PU Akram akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan persembahan yang diberikan nanti tidak ‘tenggelam’ dan mampu memancing hati penonton.

Juara PU musim ini akan membawa pulang wang tunai RM100,000 manakala pemenang kedua menerima RM30,000, ketiga (RM20,000) dan keempat (RM10,000) berserta trofi.
 

Artikel Berkaitan