Meskipun penganjuran Skankin Festival tidak mendapat tajaan dari mana-mana pihak, namun penganjur Cartel Production yakin dapat mengumpul lebih 3000 peminat muzik reggae dan ska di KL Live Centre pada 24 Disember ini.

Pengarah bersama Cartel Production , Muhammad Hakim Amir berkata konsert reggae dan ska pertama di Malaysia itu bakal menjadi tarikan kerana ia menampilkan 12 band terkenal tanah air.

"Ini penganjuran pertama konsert kami, jadi kami tidak terfikir untuk mencari penaja. Cuma jika masih ada penaja yang berbesar hati hendak menaja kami tidak akan menolak.

"Namun kami yakin dengan barisan band reggae dan ska terkenal yang kami tampilkan nanti kerana mereka terdiri daripada generasi berbeza iaitu daripada band lama seperti Republic of Brickfield, Gerhana Ska Cinta hingga ke band baru iaitu Skudap Skudip.

"Jadi kami yakin, ia pasti menjadi tarikan lebih ramai yang mahu membeli tiket menonton konsert ini.

"Tambahan pula, lokasi kami juga adalah antara venue konsert yang hebat yang pernah menjadi pentas band-band dari luar negara. Jadi kualitinya sudah pasti tidak boleh disangkalkan lagi," katanya kepada Astro Gempak ketika sidang media.

Sidang media dan pelancaran Skankin Festival itu diadakan di Cartel Coffee Shop, Bangi semalam.

Konsert yang akan bermula pada jam 3 petang itu menampilkan 12 band seperti Salam Musik, Gerhana Ska Cinta, Purevibracion, Republic of Brickfield, Plague of Happiness, Sharpshooter, Skudap Skudip, Wakakukz, Johny Comes Lately, Rosewood, Mbex Firdaus and The Souljah, dan Budak Nakal Hujung Simpang.

Skankin Festival yang dijangkakan berlangsung selama lebih enam jam ini bakal mempersembahkan lebih 50 buah lagu dari kesemua 12 buah band.

Tiket Skankin Festival 2016 sudah pun mula dijual dengan harga RM90 bagi 200 tiket early bird dan RM110 bagi tiket biasa serta RM130 bagi tiket VIP.

Ia boleh dibeli di Cartel Coffeeshop bertempat di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, di laman web www.skankinfestival.asia, atau menerusi talian 013-2280788/ 018-2711730.

Teks oleh; Syafiqah Jalal