Elaine Daly Kongsi Tips Gaya Hidup Di Saluran TV Sendiri

8 Disember 2016. 3.12 PM
1,616
Hiburan
Elaine Daly Kongsi Tips Gaya Hidup Di Saluran TV Sendiri
Pengacara dan pelakon, Elaine Daly menyatakan rasa gembira apabila hasratnya untuk menubuhkan saluran interaktif online, hurr.tv tercapai.

Menurut Elaine, saluran tersebut merupakan salah satu usahanya untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang gaya hidup terkini.

“Hampir 20 tahun berada dalam industri tak dinafikan banyak perkara telah saya belajar tak kiralah dari segi bidang pengarahan, lakonan, produksi dan pengacaraan.

“Sebab itu saya terfikir untuk tubuhkan hurr.tv dan sumbangkan serba sedikit pengetahuan saya kepada masyarakat lebih-lebih lagi mengenai gaya hidup.

“Sebenarnya perancangan dibuat pada awal tahun ini dan saya rasa cukup gembira kerana apa yang dirancang berjalan dengan baik.

“Hurr.tv dah mula bersiaran sejak April lalu dan jujur saya katakan rasa terharu kerana hasil usaha saya mendapat reaksi positif daripada penonton,” katanya ketika ditemui pada pelancaran hurr.tv di TREC Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas serba sedikit mengenai saluran tersebut, Elaine memberitahu segmen-segmen yang dipilih untuk disiarkan menerusi hurr.tv adalah mengikut permintaan masyarakat masa kini.

“Pelbagai segmen menarik yang kami sediakan, tak semestinya berkaitan dengan fesyen saja, lagipun saya faham bukannya semua orang suka fesyen.

“Makanan, pendidikan, hiburan dan kesihatan semuanya ada menerusi segmen-segmen tertentu.

“Terus-terang saya katakan memang rasa seronok bila dapat berkongsi dengan penonton, bak kata orang kalau ada ilmu jangan kedekut,tak rugi pun dan hasilnya, ya saya rasa sangat puas hati,” ujarnya

Hurr.tv yang membawa maksud hip urban relevant dan real, ia merangkumi pelbagai topik seperti Makan Minum Kopi, Road to Miss Universe Malaysia 2016, Eat Me Now, X-Off Challenge dan Cakap Je.

Untuk menonton sila layari www.hurr.tv.

Teks oleh: Mya Amri 
 

Artikel Berkaitan