Ayda Jebat Rasa Bersalah, Menangis Tak Sempat Bergambar Dengan Peminat

8 Disember 2016. 2.55 PM
7,264
Hiburan
Ayda Jebat Rasa Bersalah, Menangis Tak Sempat Bergambar Dengan Peminat
Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat akui akan berasa bersalah dan menangis jika tidak sempat bergambar bersama peminat.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 24, berkata, sebagai seorang artis seboleh-bolehnya dia mahu melayan semua peminat yang datang kepadanya, namun disebabkan kekangan masa dia terpaksa menolak.

"Sebenarnya, setiap malam sebelum tidur saya akan menangis jika saya ingat kembali ada peminat yang merayu hendak bergambar dengan saya tetapi saya gagal memenuhinya.

"Saya sedih kerana saya tahu ada di antara peminat itu datang dari jauh dan semata-mata hendak berjumpa saya.

"Saya cuba sedaya upaya untuk melayan peminat tetapi tidak mampu memenuhi permintaan semua yang hadir.

"Jadual saya penuh, jadi saya akan terkejar-kejar dari satu tempat ke satu tempat," katanya kepada Astro Gempak.

Ayda Jebat ditemui ketika majlis Sephora Holiday Soiree With Special Guest Ayda Jebat yang berlangsung di Sephora, KLCC semalam.

Pelantun lagu Awak Sangat Nakal itu memberitahu dia artis pertama yang dipilih sebagai selebriti jemputan untuk Sephora Malaysia.

"Saya terharu apabila dipilih sebagai artis Malaysia pertama yang diundang untuk memeriahkan acara tahunan Sephora.

"Hari ini saya hadir hanya untuk memeriahkan lagi acara Sephora sempena sambutan Krismas tidak lama lagi," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Ayda bakal mempromosikan single Pencuri Hati dan Awak Sangat Nakal di Indonesia pada awal tahun hadapan.

Teks oleh: Syafiqah Jalal
 

Artikel Berkaitan


Komen