Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein merasakan kehadiran bekas suaminya, Azmi Hatta yang melawat anak mereka sebagai hadiah paling indah untuk hari lahirnya yang bakal tiba pada 17 Disember ini.

“Alhamdulillah, setelah sembilan bulan, akhirnya bekas suami datang melawat anak kami, Putri Sara Sefhia di rumah saya. Saya rasa sangat bersyukur dan menganggap kehadiran bekas suami melawat Sefhia sebagai hadiah paling indah bersempena ulang tahun kelahiran saya.

“Pertemuan saya dan Azmi juga berlangsung dengan baik. Kami bertegur sapa seperti biasa, siap boleh bergelak ketawa lagi. Saya cuma mahu Sefhia merasai kasih sayang seorang bapa seperti anak-anak lain. Azmi turut memaklumkan yang dia mahu datang lagi melawat Sefhia,” kata Elly ketika dihubungi oleh Astro Gempak.

Tambah penyanyi lagu Bungaku Bakawali ini, dia bersyukur kerana setelah sekian lama, Sefhia dapat bertemu dengan bapanya.

“Mungkin sebelum ini dia terlupa untuk melawat, tetapi bila bekas suami datang untuk berjumpa dengan anak, saya sangat bersyukur dan saya harap akan berterusan. Saya tak mahu apa-apa lagi dari bekas suami, cukuplah sekadar nafkah Sefhia dan kasih sayang tanpa berbelah bahagi kepada anak.

“Walaupun pada awalnya Sefhia kelihatan seperti tidak biasa dengan Azmi, lama-kelamaan keadaan menjadi baik. Saya percaya kasih sayang antara bapa dan anak. Sefhia pun semakin lama semakin membesar dan mula mengenali orang yang terdekat dengannya.

“Tak pernah wujud sengketa antara saya dengan Azmi. Apa yang terjadi sebelum ini hanyalah kerana saya mahu menegakkan hak anak saya. Saya bukan cakap kosong tetapi saya mahukan hak Sefhia terjaga.

“Alhamdulillah, semuanya kini baik-baik sahaja. Walau macam mana sekali pun, Azmi tetap bapa kepada Sefhia. Siapalah saya untuk memutuskan kasih sayang antara seorang bapa dan juga anak,” katanya mengakhiri perbualan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal