Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu tidak mahu lagi menyertai pertandingan realiti seperti Maharaja Lawak Mega (MLM).

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 32, tak mahu kembali merasakan tekanan yang dihadapi dalam pertandingan.

"Sebelum ini, saya ada beberapa kali menyertai pertandingan berbebtuk program realiti seperti Raja Lawak dan MLM. Saya rasakan tekanan yang dihadapi semasa pertandingan berbeza jika dibandingkan dengan tekanan mahu membuat persembahan biasa.

"Secara peribadi, saya tidak mahu lagi memasuki mana-mana pertandingan. Cukuplah setakat ini. Kadang-kadang, otak boleh jadi 'tepu' memikirkan tekanan yang dihadapi sewaktu mencari idea untuk pertandingan," kata Shuib kepada Astro Gempak.

Tidak menghalang anggota kumpulan Sepahtu lain untuk mengikut jejak langkahnya, peminat boleh mengubat kerinduan dengan mendengar celoteh mereka di Sinar FM.

"Enggan masuk pertandingan itu merupakan keputusan saya sendiri. Saya tak kisah jika anggota Sepahtu yang lain ingin masuk bertanding. Seperti edisi MLM sebelum ini, Rahim bertanding mewakili kumpulan Joras dan saya sebagai sahabat tidak menghalang malah menyokong Rahim.

"Jika ada peminat merindukan celoteh kami sebagai Sepahtu, mereka boleh mendengar Sinar FM setiap pagi Isnin sehingga Jumaat.

"Selain itu, Sepahtu juga akan muncul dalam program Sepahtu Reunion Live yang bakal bersiaran di Astro Warna bermula Disember ini," katanya ketika ditemui di sidang media drama bersiri sains siaran Astro TVIQ, Supersains.

Menerusi drama bersiri mengenai kehidupan harian kanak-kanak yang turut menerapkan elemen Sains, Shuib bergandingan dengan Mark Adam, Kashika Selvam Ceria Popstar dan ramai lagi.

"Ini merupakan pengalaman saya bekerja dengan pelakon kanak-kanak. Tidak sukar berlakon bersama mereka kerana semuanya bijak-bijak belaka dan melakukan kajian sebelum melangkah ke set.

"Saya memegang watak sebagai seorang Profesor dan berharap cerita ini mendapat maklumbalas positif penonton, terutamanya kanak-kanak. Selain berhibur menonton drama bersiri ini, mereka dapat belajar mengenai Sains dengan cara yang menyeronokkan," katanya lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri sains harian pertama di Malaysia, Supersains secara eksklusif pada setiap Sabtu bermula 10 Disember ini pada jam 11.30 pagi di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Teks oleh: Kamaruddin Razal