Penyanyi yang kini bergelar pelakon, Mark Adam, 37, bekerja keras untuk mengekalkan momentumnya dalam dunia hiburan.

Pemilik nama penuh Fikri Mark Adam ini tidak memilih dan mengambil apa sahaja tawaran yang dirasakan bersesuaian dengan dirinya.

“Susah untuk saya berada di tahap sekarang. Semuanya terjadi secara tiba-tiba. Saya merasakan perjalanan saya seperti menaiki tangga, saya naik satu demi satu langkah menuju ke atas.

“Untuk bertahan, saya harus berusaha dan bekerja dengan lebih keras. Saya perlu mengekalkan momentum agar tidak hilang dari radar dunia seni. Saya suka kerja keras dan tidak kisah jika harus bekerja lebih masa,” kata Mark kepada Astro Gempak.

Penyanyi lagu Berat ini juga semakin mencintai dunia lakonan. Walaubagaimanapun, Mark tetap meletakkan fokus utamanya terhadap bidang muzik.

“Saya merasakan dunia lakonan sangat menyeronokkan. Apa-apa sahaja watak yang ditawarkan, saya akan mencubanya kerana bagi saya yang tiada asas lakonan, perkara itu menjadi batu loncatan untuk saya memperbaiki mutu lakonan.

“Namun begitu, dunia nyanyian tetap menjadi cinta pertama saya. Walau apa yang terjadi, saya meletakkan bidang nyanyian sebagai fokus utama,” katanya ketika ditemui di sidang media drama bersiri sains siaran Astro TVIQ, Supersains.

Menerusi drama bersiri bekisarkan mengenai kehidupan harian kanak-kanak yang turut menerapkan elemen Sains, Mark bergandingan dengan Shuib Sepahtu, Kashika Selvam Ceria Popstar dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri sains harian pertama di Malaysia, Supersains secara eksklusif pada setiap Sabtu bermula 10 Disember ini pada jam 11.30 pagi di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Teks oleh: Kamaruddin Razal