Ini Hadiah Hari Lahir Untuk Anak Ibu, Uwais – Siti Sarah

6 Disember 2016. 3.00 PM
113,289
Hiburan
Ini Hadiah Hari Lahir Untuk Anak Ibu, Uwais – Siti Sarah

Penyanyi Siti Sarah memberitahu gelaran naib juara di GagarVaganza 3 (GV 3) adalah hadiah hari lahir buat anak sulungnya, Uwais Alqarni.

Siti Sarah berkata, dia sedikitpun tidak menyangka akan bergelar naib juara pada musim ini kerana persaingan hebat daripada semua finalis GV 3, namun menganggap kemenangan tersebut merupakan rezeki Uwais di hari ulangtahun kelahirannya yang kelima.

“Hari ini (4 Disember), hari ulangtahun kelahiran Uwais. Saya terharu dan sebak sebaik sahaja diumumkan berada di tangga tiga teratas.

“Kemenangan pada hari ini adalah rezeki buat anak-anak saya. Syukur pada Allah kerana telah memberikan rezeki ini kepada kami sekeluarga,” katanya sebak.

Ditanya samada dia terkilan atau tidak kerana gagal menyandang gelaran juara, jawab pelantun suara Kesetiaan ini sudah tertulis rezeki milik Azharina.

“Saya telah mencuba yang terbaik pada malam ini, jujur saya katakan saya bersyukur kerana suara saya keluar ketika persembahan.

“Saya tidak menolak andaian orang di luar sana yang mengatakan saya emosi sehingga menitiskan air mata ketika habis persembahan pertama, kerana ya, saya memang beremosi kerana imbas kembali perjalanan saya di GV 3, bukan mudah.

“Alhamdulillah, saya ada team yang kuat, suami dan keluarga  yang sentiasa memberi semangat kepada saya untuk meneruskan perjuangan di GV 3.

“Saya masih ingat ketika saya pengsan dan hampir putus asa, Shuib cakap kalau saya mahu menarik diri dari GV 3 tidak mengapa kerana dia boleh bekerja untuk keluarga kami.

“Perasaan ketika itu, bercampur baur dan pada masa sama saya fikir yang saya mesti terus berjuang kerana tidak mahu mengecewakan penyokong saya,” katanya sebak.

Sementara itu Shuib ketika ditemui berkata, dia tidak akan menghalang isterinya itu untuk kembali aktif menyanyi.

“Saya tidak akan menghalang Sarah untuk terus menyanyi kerana itu minat dia, lagipun tidak ada salahnya,” ujarnya.

Bergelar naib juara, Siti Sarah berjaya membawa pulang wang tunai RM50,000 tajaan Astro dan Qu Puteh, sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000 tajaan Budi Group, dan pakej percutian ke Eropah bernilai RM12,000 sumbangan Kowamas Holidays.
 
Sarah turut membawa pulang rantai mutiara bernilai RM25,000 sumbangan The Rafflesia Pearl Centre, baucer barangan tunai bernilai RM5,000 sumbangan Go Shop serta trofi sumbangan Astro.

Sarah turut berjaya menjadi pemenang Persembahan Pilihan Penonton menerusi undian di laman web GV dan membawa pulang RM5,000 tajaan Astro.

Foto: Syuhaimi Shamsuddin, Siti Sarah


Artikel Berkaitan


Komen