Azhar Semangat Nak Berlakon Selepas Lihat Lakonan Amira Othman

6 Disember 2016. 1.25 PM
38,809
Hiburan
Azhar Semangat Nak Berlakon Selepas Lihat Lakonan Amira Othman
Anggota kumpulan duo Azhael, Azhar mengakui semangatnya untuk berlakon semakin serius selepas melihat lakonan Amira Othman menerusi drama Abang Bomba I Love You.

Azhar berkata, dia ada menerima beberapa tawaran untuk berlakon dan berpendapat peluang tersebut adalah batu loncatan kepadanya untuk serius dalam bidang lakonan.

“Saya menjadi lebih yakin apabila melihat rakan seperjuangan saya di Akademi Fantasia, Amira Othman berlakon dalam drama Abang Bomba I Love You.

“Lakonan Amira juga bagus walaupun itu adalah cubaan pertamanya. Dari situ saya mula terfikir jika Amira boleh, mengapa tidak saya? Sedangkan sebelum ini saya juga pernah berlakon.

“Apa salahnya jika saya gunakan pengalaman berlakon telemovie Cinta Di Gerai dua tahun lalu dengan Erin Malek sebagai pemangkin semangat?

“Saya tidak akan sia-siakan pengalaman tersebut dan sanggup belajar untuk menambah baik mutu lakonan saya,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Tambah Azhar lagi, dia juga telah menerima tawaran berlakon untuk drama yang akan ditayangkan di Astro Ria, namun ia masih di dalam proses perbincangan.

“Insya Allah peluang ini akan saya manfaatkan sebaik-baiknya kerana ia adalah cabang baru untuk perkembangan karier saya.

“Barisan pelakon lain serta tajuk drama masih di peringkat perbincangan, tapi saya pasti akan kongsikan perkembangannya bersama para peminat semua selepas ia sudah sahih nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu Azhar turut menyatakan rasa terharunya kepada semua yang telah memberi sokongan untuk dia kembali berlakon.

“Terima kasih kepada semua kerana semangat saya untuk berlakon semula berkobar-kobar selepas mendapat sokongan anda semua, termasuklah ahli keluarga saya,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 
 

Artikel Berkaitan


Komen