Hampir sembilan tahun berada dalam industri muzik, buat pertama kalinya penyanyi Tomok dan Black bakal berduet menerusi lagu terbaru berjudul Rempuh.

Pengambaran muzik video Rempuh telah pun dilakukan bertempat di Kapal Korek Tanjung Tualang, Perak baru-baru ini dan diarahkan oleh pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar.

Dalam pada itu, Ghaz juga menyatakan muzik video tersebut akan memberikan sedikit kelainan kerana lokasi yang dipilih agak unik.

“Saya berbesar hati kerana telah ditawarkan untuk menghasilkan video muzik gandingan Black dan Tomok.

“Secara jujur saya teruja untuk membuat pengambaran ini kerana lokasi kapal korek yang sungguh unik dan membolekan saya untuk bereksperimen dengan kreativiti saya.

“Saya pasti muzik video ini akan memberikan kelainan kepada penonton selain garapan jalan cerita yang cukup menarik,” katanya.

Lagu ciptaan Omar K, Ezra Kong dan John Jeevasingham serta penulis lirik Hael dan Zel ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang kehilangan kekasih.

Walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan, dia bertekad untuk mencari dan mendapatkan semula kekasihnya.

Teks oleh: Mya Amri