Single Tentang Cinta Kurang Sambutan, Haiza Cari Lagu Dangdut

5 Disember 2016. 1.02 PM
23,199
Hiburan
Single Tentang Cinta Kurang Sambutan, Haiza Cari Lagu Dangdut
Penyanyi dan penyampai radio Haiza, akui single pertama selepas Gegar Vaganza 2, Tentang Cinta kurang mendapat sambutan.

Haiza atau nama sebenar Rohaizah Nordin, berkata, perkara tersebut berlaku mungkin kerana genre lagu tersebut yang masih baru untuk dirinya.

Bagaimanapun menurutnya, dia tidak pernah berputus asa untuk mencari lagu lain dalam waktu terdekat.

“Ada banyak aspek kenapa lagu itu tidak dikenali. Kurang dimainkan di corong-corong radio juga antara salah satu faktor. Atau mungkin peminat masih lagi terbiasa dengan lagu Dag Dig Dug?

“Itu percubaan saya untuk tampil dengana kelainan selepas tamat GegarVaganza 2, mungkin Tentang Cinta tak ada ‘luck’ tetapi saya berpuas hati dengan kerjasama diberikan semua pihak.

“Saya sudah ada perancangan untuk menerbitkan lagu baru pada tahun hadapan dan ia bergenre dangdut. Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa lewat, tetapi saya tidak mahu gopoh kerana mahu mencari material terbaik untuk produk terbaru ini,” katanya yang ditemui Astro Gempak.

Dalam pada itu, Haiza memberitahu dia tidak berasa kecewa single tersebut tidak mendapat sambutan sebaliknya menganggap ia sebagai asam garam bergelar penyanyi.

“Hampir 20 tahun saya berada di sini dan itu saya anggap sebagai dugaan dan cabaran sebagai anak seni.

“Formula yang saya gunakan untuk bertahan ialah, nak jadi penyanyi kena kuat, banyak sabar dan sentiasa berfikiran positif.

“Kena cuba dulu, kalau tak berjaya kita buat perancangan lain agar kita kekal relevan dalam industri terutama mengenai lagu yang kita nyanyikan.

“Jadi, apa yang saya rancang untuk lancarkan lagu dangdut pada tahun hadapan tercapai, sokongan daripada peminat adalah segalanya buat diri saya,” katanya.

Haiza bakal muncul dalam program realiti terbaru terbitan Astro, Duo Star yang bakal bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 25 Disember ini di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 
 

Artikel Berkaitan


Komen