Kerap Berkunjung Ke Malaysia, Lee Kwang Soo Paling Suka Makan Sate

2 Disember 2016. 8.31 PM
61,219
Hiburan
Kerap Berkunjung Ke Malaysia, Lee Kwang Soo Paling Suka Makan Sate
Pelakon dan bintang Running Man, Lee Kwang Soo akui Sate merupakan makanan kegemarannya setiap kali berkunjung ke Malaysia.
 
Menurut Kwang Soo, walaupun dia sering diperkenalkan dengan pelbagai jenis makanan namun dia tetap memilih Sate.
 
“Saya gembira sekali apabila dapat berkunjung ke Malaysia, selain orangnya yang sangat ramah saya juga suka dengan makanan di sini.
 
“Setiap kali datang ke Malaysia pasti saya tertunggu-tunggu untuk menikmati Sate.
 
“Saya tak tahu apa yang membuatkan saya begitu tertarik dengan makanan tersebut, rasanya sangat sedap dan Sate adalah makanan kegemaran saya di sini.
 
“Tak kisah kalau ada makanan lain ataupun anda kata nasi lemak sedap tapi pilihan saya tetap sate,” katanya sambil membuat gaya mengigit sate.
 
Dalam pada itu, Kwang Soo juga turut menyatakan rasa terharu melihat sokongan peminat di Malaysia terhadap program Running Man.
 
“Sudah tujuh tahun saya bersama Running Man dan program itu umpama sebahagian daripada hidup saya.
 
“Banyak memori manis saya rakamkan bersama hos yang lain dan apabila melihat sokongan anda terhadap Running Man, saya rasa sangat terharu.
 
“Teruskan menyokong kami dan saya janji akan berikan yang terbaik untuk program tersebut. Terima kasih kerana sokongan anda.
 
“Saya rasa bertuah apabila dapat bertemu dengan peminat di negara, terima kasih sekali lagi kerana hadir dan tak sabar rasanya untuk kembali ke sini lagi,” ujarnya.
 
Terdahulu, Kwang Soo merupakan tetamu undangan bagi program realiti, Running Man Challenge - Hydrated By 100Plus pada 26 November lalu dan ini merupakan kunjungan keempatnya di negara ini.
 
Selain Kwang Soo, acara itu juga turut disertai oleh barisan artis tempatan seperti Ayda Jebat, Saharul Ridzwan, Hairul Azreen dan Ajak Shiro.
 
Teks oleh: Mya Amri

Artikel Berkaitan


Komen