Diana Danielle Berlatih Dayung Sampan Kerana Hanyut

2 Disember 2016. 12.46 PM
3,809
Hiburan
Diana Danielle Berlatih Dayung Sampan Kerana Hanyut
Disebabkan arus sungai yang terlalu deras, pelakon Diana Danielle akui diberi latihan insentif mendayung sampan selama dua minggu untuk filem Hanyut.

Menurut Diana, pihak produksi menyediakan latihan tersebut bertujuan untuk mengelakkan dirinya kelihatan kekok ketika melakukan babak tersebut.

“Bukan mudah rupanya untuk mendayung sampan lebih-lebih lagi dalam keadaan sungai yang dalam berserta arus sungai yang deras.

“Kami diberi latihan selama dua minggu supaya dapat mendayung dengan betul dan tak nampak kekok apabila melakonkan aksi tersebut.

“Lagipun latihan itu juga merupakan salah satu langkah keselamatan untuk kami, bila dah biasa dan dapat mendayung dengan betul maka kuranglah sikit rasa risau atau risiko sampan terbalik.

“Memang bukan saya seorang saja, adalah orang yang jaga, tapi saya rasa latihan itu sangat membantu sebagai langkah untuk kami berjaga-jaga jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya.

Diana ditemui ketika majlis pra-tonton filem Hanyut yang diadakan di GSC KLCC, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Diana juga turut berkongsi pengalaman berpeluang berlakon dengan aktres Sofia Jane  dalam filem tersebut.

“Waktu itu umur saya  baru 19 tahun dan dalam usia yang muda dapat berlakon dengan Sofia Jane merupakan satu penghargaan besar buat saya.

“Tidak satu babak yang susah pun ketika berlakon bersamanya kerana dia membantu dan saya suka bekerjasama dengan dia.

“Saya tak dapat nak sembunyikan rasa kagum ketika melihat dia beraksi sampai rasa nak tengok berkali-kali.

“Cara lakonannya itu sangat bagus sampai saya rasa seperti melihat teater, watak yang dilakonkan oleh Sofea Jane sangat menjadi dan dia juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu tentang lakonan bersama saya,” ujarnya.

Filem Hanyut arahan sutradara handalan U-Wei Haji Saari telah pun menemui penonton di pawagam bermula 24 November lalu.

Selain Diana, pelakon yang turut terlibat ialah Adi Putra, Datin Sofia Jane, Khalid Salleh, Bront Palarae, Rahayu Saraswati dan Alex Komang (Allahyarham).

Teks oleh: Mya Amri

Artikel Berkaitan


Komen