Bidang Nyanyian Kini Kerjaya Sambilan, Najwa Latif Fokus Pengajian

1 Disember 2016. 2.10 PM
12,537
Hiburan
Bidang Nyanyian Kini Kerjaya Sambilan, Najwa Latif Fokus Pengajian
Penyanyi Najwa Latif mengakui menjadikan nyanyian sebagai kerjaya sambilan kerana mahu memberi fokus kepada pengajiannya.

Najwa yang sedang mengikuti pengajian di dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di UNITAR, berkata, dia perlu memberikan sepenuh perhatian kepada pelajarannya kerana mahu mengejar cita-cita sebagai seorang pensyarah.

“Saya sebenarnya telah menjadikan bidang nyanyian sebagai karier sambilan, cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pensyarah.

“Jadi fokus saya dalam bidang pelajaran lebih diutamakan berbanding dengan nyanyian.

“Selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda TESL, saya akan menyambung pengajian yang sama dalam bidang Ijazah Sarjana, itu adalah kemahuan saya,” kata Najwa ketika ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Tambah Najwa lagi, jadual pelajaran yang padat juga antara sebab dia kurang aktif untuk muncul dalam mana-mana program nyanyian dan jarang dilihat di kaca televisyen.

“Saya memang tidak dapat curi masa untuk memenuhi undangan program TV mahupun majlis-majlis lain kerana perlu ke kuliah.

“Hujung minggu saya lebih banyak berehat di rumah untuk ulangkaji pelajaran.

“Kalau tak sibuk dan tiada apa halangan untuk saya menyanyi, barulah saya pergi kalau tak memang fokus dengan belajar,” katanya.

Tidak melupakan terus bidang nyanyian, Najwa kini sedang mempromosikan lagu terbarunya, berjudul Biar yang boleh ditonton menerusi Youtube.

Lagu Biar merupakan hasil ciptaannya sendiri dan lirik ditulis oleh Ika Latif telah mendapat lebih 600 ribu tontonan selepas satu bulan di muat naik.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 
 

Artikel Berkaitan