Pelawak dan pengacara, Jihan Muse selama ini menyimpan tiga ramuan yang menjadi rahsia dan dicari-cari oleh tiga bakal perserta Pertandingan Memasak Antarabangsa.

Jihan bagaimanapun bakal membongkar dan berkongsi tiga ramuan rahsia itu iaitu Ayam Hitam Kaki Satu, Popia Meletop dan Kari Menangis dalam telemovie, Oh My English! Road To Jogja (bahagian 1).

Setiap satu ramuan itu bakal didemonstrasikan Jihan dalam tiga watak berbeza iaitu sebagai Mak Itam, Mrs. Lee dan Patti.

Roax Tan yang membawa watak See Yew Soon (SYS), Zhafir Muzani sebagai Mazlee dan Juzzthin sebagai Zack bakal menyertai pertandingan memasak itu dan telah menuntut ilmu dengan Jihan dalam telemovie tersebut.

Berpandukan beberapa petunjuk, mereka mendapati bahawa ramuan pertama iaitu Ayam Hitam Kaki Satu terdapat di Ipoh. Di situ mereka berjaya menemui seorang wanita Melayu bernama Mak Itam. Mak Itam mengajar mereka cara-cara untuk memotong ayam dan menghadiahkan mereka seekor ayam hidup bernama Lauk bersama adunan ramuan rahsia.

Destinasi kedua mereka ialah Pulau Pinang. Di sini mereka telah menemui seorang wanita Cina bernama Mrs.Lee dan berjaya mendapatkan ramuan kedua mereka iaitu Sos Popia Meletop.

Di Kedah pula, Mazlee bertemu dengan seorang wanita India bernama Patti dan berjaya mendapatkan ramuan terakhir iaitu adunan rempah campuran Kari Menangis.

Adakah mereka berjaya menyertai pertandingan memasak itu? Saksikan Oh! My English! Road To Jogjakarta (bahagian 1) yang akan bersiaran secara eksklusif di Astro TVIQ (Saluran 610), Astro Prima (Saluran 105) dan juga dalam definisi tinggi (HD) di Astro Maya HD (Saluran 135) pada hari Sabtu, 3 Disember 2016, jam 9.00 malam.

Teks oleh: Syafiqah Jalal