Seorang penumpang Grab Car, teruja apabila menyedari pemandu pengangkutan awam tersebut merupakan pelakon popular 90an, Hairie Othman.

Menerusi laman sosial Facebook, lelaki yang menggunakan nama Mike Manicka itu sempat bertanya kepada Hairie samada dia seorang pelakon.

Tulisnya lagi, Hairie hanya tersenyum dan menjawab “Ya”.

“Pada mulanya saya tidak perasan yang pemandu Grab Car itu adalah pelakon Hairie Othman, namun mula menyedarinya ketika saya hampir tiba di destinasi saya.

“Itupun selepas saya memandang ke arahnya dan terdetik di hati saya yang wajahnya seperti pernah saya lihat. Dan selepas itu barulah saya beranikan diri bertanya samada dia seorang pelakon.

“Saya teruja kerana, seorang pelakon hebat seperti Hairie sangat merendah diri dan mesra serta tidak sombong,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Kali terakhir Hairie Othman, 45, muncul di kaca televisyen ialah pada Jun 2012 menerusi drama lakonannya berjudul Waris.

Selepas meninggalkan dunia lakonan lima tahun lalu, teraju utama filem Leftenan Adnan ini lebih aktif menghadiri majlis-majlis agama dan kadang-kala dijemput sebagai penceramah motivasi.

Hairie juga dilaporkan sempat mengembara ke India selama empat tahun untuk mempelajari ilmu agama.