Isa Khan Berlakon Teater, Akui Mencabar Bawa Watak Gabenor

30 November 2016. 12.45 PM
8,960
Hiburan
Isa Khan Berlakon Teater, Akui Mencabar Bawa Watak Gabenor
Bekas pelajar Akademi Fantasia 2016 (AF2016), Isa Khan akui gementar untuk membawakan watak sebagai seorang gabenor dalam pementasan teater Putera La Galigo bermula 16 Disember ini.

“Tipulah kalau saya tak gementar, lagipun ini merupakan percubaan pertama saya dalam bidang lakonan.

“Saya bawakan watak orang Belanda bernama Ary Verbrugge dan walaupun watak ini tidak banyak dialog tetapi lebih kepada pergerakan.

“Bagi saya ini sangat mencabar kerana banyak bermain dengan memek muka dan juga bahasa badan, cara berdiri, cara bertutur, semuanya perlu diambil perhatian untuk menghidupkan watak tersebut.

“Saya juga ada melakukan sedikit kajian tentang watak-watak gabenor sebagai rujukan. Ini merupakan satu perkara baru untuk saya.

“Jadi saya mahu berikan yang terbaik dan buktikan kemampuan saya dalam bidang lakonan,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai kerjayanya, Isa atau nama sebenarnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 23, berkata, dia menerima tawaran tersebut kerana ingin mencuba bidang lakonan dan menganggap tawaran itu sebagai satu peluang yang tidak harus dilepaskan.

“Saya anggap ini rezeki saya selepas tersingkir dari AF2016, dan sebenarnya saya pun tak sangka dapat tawaran berlakon.

“Saya terima kerana nak cuba benda baru selain mencabar kemampuan diri dan jujur saya katakan selama hampir tiga bulan bersama produksi ini, jiwa saya mula tertarik pada teater.

“Bagaimanapun untuk karier muzik saya tidak akan lupakan, muzik adalah pilihan utama saya. Sebagai pendatang baru saya terima apa saja tawaran yang diberikan sama ada dari segi nyanyian mahupun lakonan.

“Bukan apa, bagi saya perkara itu secara tidak langsung boleh mengasah lagi bakat saya dalam dua bidang tersebut,” ujarnya.

Teater Putera La Galigo yang diarahkan oleh Dr Rosdeen Suboh akan dipentaskan selama tiga hari berturut-turut bermula 16 sehingga 18 Disember depan di Stadium Malawati Shah Alam.

Turut menjayakan teater ini termasuklah Amar Asyraf, Tasha Shilla, Raja Azura, Wan Raja dan Ainul Aishah.

Tiket-tiket berharga RM35 dan RM100 boleh ditempah di www.airasiaredtix.com atau hubungi 03-87754666.

Teks oleh: Mya Amri
 

Artikel Berkaitan