Berlatih Dua Jam Sebelum Konsert High Note, Kerja Gila - Ziana Zain

29 November 2016. 4.49 PM
13,144
Hiburan
Berlatih Dua Jam Sebelum Konsert High Note, Kerja Gila - Ziana Zain
Penyanyi Ziana Zain mengakui melakukan kerja gila menyertai konsert High Note, kerana belum pernah dalam kerjayanya berlatih dua jam sebelum konsert bermula.

Malah menurut Ziana ketika ditemui selepas konsert Jumaat lepas, dia juga hampir berputus asa dan menarik diri gara-gara sikap kurang profesional penganjur terutama dalam penyusunan lagu dan persembahan.

“Ini kerja paling gila yang pernah saya buat! Dua jam sebelum konsert bermula baru saya dan penyanyi lain giat berlatih untuk pilih lagu.

“Kerap kali saya beri cadangan dan idea untuk konsep konsert ini tetapi dimarahi penganjur yang kononnya faham dengan kerja mereka.

“Tetapi kesudahannya, susunan muzik tak siap, persembahan antara saya, Jaclynn Victor dan Azlan tak betul sehingga saya putus asa.

“Memang pada mulanya saya mahu menarik diri kerana banyak benda tak siap, tetapi kerana etika kerja serta profesionalisme kami teruskan jua. Kasihan kepada  peminat yang datang daripada jauh,” luahnya kesal.

Tambah Ziana lagi, pada mulanya dia enggan mendedahkan apa yang berlaku di belakang tabir mengenai penganjuran Konsert High Note.

Namun terpaksa membuka mulut kerana kecacatan hanya akan nampak pada penyanyi bukan penganjur.

“Bukan niat saya untuk mengaibkan penganjur tetapi ingin memberitahu kepada semua apa sebenarnya yang berlaku sebelum konsert berlangsung.

“Saya pun cari rezeki dalam bidang nyanyian dan saya rasa semua penyanyi inginkan kesempurnaan sebelum berhadapan dengan penonton.

“Saya juga ada cakap, kalau belum siap sepenuhnya baik tangguhkan dulu, tetapi mereka kata tak boleh dan konsert mesti diteruskan.

“Benda pun dah jadi, saya hanya berdoa kepada Tuhan agar perkara sebegini tidak berulang dan menganggap ini adalah cabaran saya kena tempuh sebagai anak seni.

“Saya minta maaf kepada penonton yang hadir, sekiranya persembahan pada konsert High Note tidak mencapai kehendak mereka, saya mohon maaf sangat-sangat,” ujarnya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir
Foto: Cipot Sensasi Selebriti
 

Artikel Berkaitan


Komen