Pelakon dan pengacara, Zizan Razak sahut cabaran untuk kelihatan sado dalam filem terbaru lakonannya.

Menurut Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 32, seorang jurulatih telah disediakan untuk membantunya merealisasikan perkara tersebut.

“Apabila diminta untuk membentukkan badan agar kelihatan sado, saya terkejut kerana takut tak mampu nak buat.

“Tetapi selepas diberi nasihat berserta dengan sebabnya, saya menerima dengan hati terbuka dan menyahut cabaran ini.

“Orang kata, selagi tak cuba kita tak akan tahu impaknya, jadi saya akan teruskan sehingga ia memberikan hasil terbaik berbanding bentuk tubuh saya sekarang ini,” kata Zizan ketika ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Tambah Zizan, sesi penggambaran filem tersebut akan dimulakan pada bulan Mac tahun hadapan.
"Saya hanya mempunyai masa sekitar tiga bulan untuk ‘work out’ dan dapatkan susuk tubuh yang sado.

“Hakikatnya memang susah, mahu atau tidak, saya kena lakukan, ini adalah perkara luar biasa dilakukan untuk karier lakonan saya.

“Untuk mengatasi masalah kekangan masa yang agak terhad, saya telah meminta pihak pengurusan mengurangkan aktiviti seni kerana ingin memberikan fokus kepada filem terbaru saya ini.

"Apa yang diharapkan, agar impian untuk menjadi sado tercapai dan nasihat daripada pakar amat diperlukan kerana saya kurang arif mengenai hal penggunaan alatan gym,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir