Pelakon dan bintang Running Man, Lee Kwang Soo tetap ramah melayan peminat walaupun secara realitinya dia nampak sedikit letih ketika kunjungannya ke Malaysia pada Sabtu lalu.

Ini berikutan kerana jadual kerjanya yang sangat padat dan difahamkan aktor tinggi lampai itu baru tiba di Korea pagi Jumaat selepas selesai siri jelajah promosi drama terbarunya Entourage di Los Angeles sebelum terus bergegas ke Malaysia pada hari yang sama.

Bagaimanapun itu bukanlah halangan besar buat Kwang Soo yang sememangnya terkenal dengan sikap mesra dengan peminat yang membuatkan pelakon ini sentiasa menjadi kesayangan ramai.

Dengan dihadiri lebih 10,000 peminat membanjiri pusat membeli-belah Paradigm Mall, ternyata usaha mereka untuk bertemu figura popular ini tidak sia-sia.

Kwang Soo yang tidak lekang dengan senyuman begitu seronok melihat sambutan yang diberikan oleh peminat selain cuba berinteraksi bersama mereka.

Sesekali terlihat Kwang Soo memberikan ‘hatinya’ kepada peminat dengan membuat bentuk ‘love’ menggunakan tangannya.

Pelbagai gaya comel juga turut dibuat oleh Kwang Soo ketika peminat memanggil namanya untuk merakamkan foto.

Dalam pada itu, Kwang Soo yang digelar sebagai Prince of Asia ini juga menyatakan rasa gembira kerana dapat bertemu peminat di Malaysia sekali lagi.

“Gembira rasanya dapat berkunjung ke Malaysia sekali lagi dan bertemu dengan peminat di sini.

“Seronok dapat melibatkan diri dalam aktiviti Running Man Challenge yang dianjurkan dan banyak kenangan manis yang saya dapat sepanjang berada di sini.

“Terima kasih kerana menyokong Running Man, sudah tujuh tahun saya terlibat dalam Running Man, ia seakan-akan sebati dengan diri saya sekarang.

“Terima kasih sekali lagi dan kalau ada peluang saya akan kembali lagi ke negara ini,” katanya sambil tersenyum.

Sebelum acara tamat, Kwang Soo yang kelihatan ceria menyambut baik hadiah-hadiah yang diberikan peminat.

Selain itu dia juga cuba memenuhi kehendak peminat yang ingin mengambil selfie bersamanya walaupun dirinya dikawal ketat oleh pengawal keselamatan.

Terdahulu, Kwang Soo merupakan tetamu undangan bagi program realiti, Running Man Challenge - Hydrated By 100Plus dan ini merupakan kunjungan keempatnya di negara ini.

Selain Kwang Soo, acara itu juga turut disertai oleh barisan artis tempatan seperti Ayda Jebat, Saharul Ridzwan, Hairul Azreen dan Ajak Shiro.

Teks oleh: Mya Amri