Funniest Person In The World, Harith Iskander Bersaing Dengan 20 Pelawak Dunia

28 November 2016. 2.37 PM
16,797
Hiburan
Funniest Person In The World, Harith Iskander Bersaing Dengan 20 Pelawak Dunia

Pelawak dan pengacara, Harith Iskander bakal berentap bersama 20 pelawak dari seluruh dunia bagi merebut lima tempat di peringkat akhir Funniest Person In The World.

Harith telah berjaya mara ke peringkat separuh akhir pertandingan tersebut dan bakal berentap di Helsinki, Finland pada 5 Disember depan.

"Saya terplilih ke peringkat separuh akhir pertandingan itu setelah mendapat sokongan serta undian daripada rakyat Malaysia.

"Alhamdulilah, sudah tentu saya berasa gembira kerana ia sebuah pertandingan yang besar dan ini adalah peluang saya membawa nama negara di peringkat antarabangsa

"Peringkat separuh akhir dan akhir nanti akan disiarkan secara langsung menerusi online live streaming dan seluruh dunia dapat menonton persembahan saya. Saya akan beritahu semua peminat saya di Facebook nanti," katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Tambah Harith, selesai persembahan pada separuh akhir nanti, penonton dapat membuat undian selama 24 jam sebelum pengumuman lima peserta akhir dibuat.

Mengulas lanjut mengenai pertandingan tersebut Harith memberitahu dia akan menampilkan persembahan tentang subjek yang dekat di hatinya iaitu Malaysia namun mengetengahkan konteks yang mudah difahami oleh penonton di seluruh dunia.

"Saya terkejut juga bila diberitahu setakat ini mengikut undian saya berada di tempat kedua selepas Filipina dan markah daripada persembahan itu nanti akan menentukan sama ada saya layak ke final atau pun tidak.

"Dari segi persembahan saya ingin penonton tahu saya dari Malaysia dan subjek yang akan diangkat juga adalah mengenai tentang apa yang dekat dengan hati saya," katanya.

Pada peringkat pertama seramai 89 calon dari 55 buah negara berentap bagi merebut gelaran juara pertandingan itu yang dibuka pada 1 September hingga 1 Oktober lalu.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD$100,000 (RM400,000) selain berpeluang mengadakan persembahan jelajah Amerika Syarikat.

Teks oleh: Syafiqah Jalal

 

 


Artikel Berkaitan


Komen