Kosongkan Kuala Lumpur, Filem Desolasi Tampil 60 Peratus Kesan CGI

28 November 2016. 11.21 AM
62,854
Hiburan
Kosongkan Kuala Lumpur, Filem Desolasi Tampil 60 Peratus Kesan CGI
Pengarah Syafiq Yusof mendedahkan yang filem terbaru arahannya, Desolasi menampilkan 60 peratus kesan khas imej janaan komputer (CGI).
 
Antara kesan khas CGI yang ditampilkan menerusi filem tersebut adalah 'pengosongan' bandar Kuala Lumpur.
 
"Filem ini telah menjalani penggambaran pada tahun 2014. Desolasi mengambil masa dua tahun untuk disiapkan kerana hampir 60 peratus babak filem ini menggunakan kesan khas CGI.
 
"Antara babak yang memerlukan kesan khas CGI adalah kekosongan jalan di sekitar Kuala Lumpur. Saya hanya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk menahan kereta dan menjalankan penggambaran.
 
"Tenaga produksi boleh menahan kereta tetapi kami tidak boleh mengawal orang yang lalu lalang. Kesan khas CGI digunakan untuk membuang imej manusia dalam filem ini ketika babak 'pengosongan' itu dijalankan.
 
"Filem ini telah terlebih dahulu menjalani penggambaran berbanding filem Mat Moto dan Munafik. Namun begitu, kerana kesan khas CGI yang mengambil masa lama, filem ini berjaya disiapkan selepas dua tahun dan bakal menemui penonton pada 8 Disember ini," kata Syafiq kepada Astro Gempak.
 
Menampilkan Syamsul Yusof, Bella Dally, Pekin Ibrahim dan Datuk Jalaluddin Hassan sebagai teraju utama, filem ini mengisahkan mengenai anak muda yang mencari jawapan dalam kehidupan.
 
"Filem ini bercerita mengenai kisah seorang pemuda bernama Aiman yang mencari dirinya. Sering ditimpa masalah, Aiman berdoa agar dia tidak lagi dilanda sebarang masalah.
 
"Namun begitu, perkara pelik terjadi apabila pada suatu hari, Aiman mendapati dirinya tinggal berseorangan di dalam dunia tanpa kehadiran manusia lain.
 
"Saya menyelitkan nilai keagamaan menerusi filem ini. Saya juga menampilkan kelainan dengan memaparkan penyakit ganjil yang jarang ditemui, 'anton babinski' dalam filem Desolasi.
 
"Saya berharap agar filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak," katanya lagi.
 
Teks oleh: Kamaruddin Razal
 
 

Artikel Berkaitan


Komen