Penyanyi Zee Avi akui terkejut sebaik saja tema filem Ola Bola ciptaannya berjudul Arena Cahaya telah dinobatkan sebagai pemenang kategori Anugerah Ciptaan Lagu Filem Terbaik di Anugerah Golden Horse ke -53 semalam.

Zee Avi yang tidak menyangka lagu tersebut dipilih sebagai pemenang kemudiannya menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada pengarah filem Ola Bola, Chiu Keng Guan kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk menulis lagu tema tersebut.

“Saya sangka saya dijemput hadir ke anugerah ini untuk membuat menyanyikan lagu Arena Cahaya tetapi sebaliknya.

“Terima kasih kepada pengarah kerana memberikan pelunag kepada saya, ini merupakan satu projek hebat kerana filem tersebut mengisahkan tentang perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian kaum.

“Bagi saya ini adalah satu projek yang sangat luar biasa. Berpeluang sertai projek ini juga merupakan satu penghormatan buat saya dan terima kasih kepada anda yang menyokong filem ini,” ucapnya.

Zee juga tidak ketinggalan bertutur dalam Bahasa Mandarin dan Inggeris ketika memberikan ucapan.

Lagu Arena Cahaya merupakan hasil ciptaan Zee bersama sahabatnya, Rendra Zawawi.

Anugerah Golden Horse ke -53 telah berlangsung di Sun Yat Sen Memorial Hall di Taipei, Taiwan.

Selain Zee, majlis tersebut juga turut dihadiri oleh pengarah Ola Bola, Chui Keng Guan, Rendra Zawawi dan Alvin Vee.

Acara itu juga disiarkan secara langsung di Astro Xi Yue HD (saluran 300).

Teks oleh: Mya Amri