‘Yuya Yuya’ Buka Rahsia Industri Hiburan, Penulis Harap Tak Ada Yang Sentap

25 November 2016. 2.30 PM
8,165
Hiburan
‘Yuya Yuya’ Buka Rahsia Industri Hiburan, Penulis Harap Tak Ada Yang Sentap

Penulis novel yang juga bekas wartawan hiburan Abie Abdullah, berharap agar tidak ada mana-mana artis atau pemain industri hiburan tempatan yang sentap dengan penulisannya di dalam karya sulung, ‘Yuya Yuya’.

‘Yuya Yuya’ yang menggambarkan situasi kecoh atau riuh-rendah, menceritakan kisah benar Abie Abdullah atau nama sebenarnya, Abdullah Mamat sepanjang 20 tahun bergelar wartawan hiburan.

“Saya hanya mahu berkongsi pengalaman sepanjang berkecimpung di dalam bidang kewartawanan dan berharap tiada sesiapa yang sentap dengan penulisan saya ini.

“Tidak ada niat untuk memerli sesiapa dan saya serahkan kepada pembaca untuk menilai sendiri,” katanya.

Tambahnya, novel genre fiksyen kewartawanan ini juga telah ditulis berdasarkan 50 peratus fakta dan 50 peratus fiksyen.

“Benar, 90 peratus karakter yang saya cipta berdasarkan artis yang pernah wujud sepanjang tempoh pembabitan saya dalam dunia kewartawanan.

“Saya adaptasi mereka dalam imaginasi saya tetapi saya tetap menjaga profesionalisme sebagai seorang bekas wartawan untuk menjaga sensitive rakan-rakan artis, media dan pemain industri lain,” katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui pada majlis pelancaran naskhah itu di PNB Perdana Hotel, Kuala Lumpur pada petang Rabu.

Selain itu, Abie turut membuka peluang kepada rakan media yang ingin menerbitkan buku supaya menghantar manuskrip kepadanya.

"Saya memang mengalukan-alukan manuskrip daripada rakan media yang ingin menerbitkan buku. Itu adalah perancangan saya tahun depan," jelasnya.

Novel setebal 480 halaman ini dijual pada harga RM25.90 di Semenanjung Malaysia dan RM29.90 untuk Sabah dan Sarawak. Ia boleh didapati menerusi Facebook YUYAYUYA Publications atau WhatsApp 017 9747331.


Artikel Berkaitan


Komen