Tidak pernah ada niat untuk bersaing, malah pelakon kanak-kanak, Mia Sara, 11, akui kagum dengan bakat yang ada pada rakan seperjuangannya, Puteri Balqis.

"Saya tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan sesiapa kerana saya anggap setiap orang telah ditentukan rezeki masing-masing.

"Balqish punya bakat yang luar biasa dalam bidang lakonan.

"Saya akui kagum melihat bakatnya yang sangat matang dalam lakonan dan watak yang dibawakan.

"Soal populariti saya yakin kami ada pengikut masing-masing dan saya rasa ia tidak memberi kesan apa-apa pun," katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai kerjaya lakonannya, Mia memberitahu dia kini terpaksa mengurangkannya demi membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan.

"Sebenarnya tahun ni pun saya sudah mula kurangkan kerjaya lakonan saya kerana hendak memberi fokus pada pembelajaran di sekolah.

"Saya terpaksa kurangkannya buat seketika kerana pelajaran juga penting untuk masa depan saya," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Mia yang kini duta kepada makanan tambahan Caliph bakal membuat kemunculan istimewa dalam muzik video Didi & Friends tidak lama lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal