Pelakon baru Afifah Nasir mendedahkan kakaknya, Anzalna Nasir tidak pernah memberikan tunjuk ajar tentang lakonan kepada dirinya.

Sebaliknya Anzalna hanya memberikan beberapa tips penting dan garis panduan sebagai seorang pelakon.

“Saya tak ambil kelas berlakon, bagi saya setiap hari adalah proses pembelajaran. Saya belajar dengan melihat cara pelakon lain menyampaikan lakonan dan menjiwai watak mereka ketika di set pengambaran.

“Secara jujurnya kakak saya, Anzalna tidak pernah ajar saya cara berlakon, cuma dia ada berikan beberapa tips untuk mendapatkan ‘angle’ menarik ketika melakonkan sesuatu babak.

“Dia juga berpesan jika melakonkan babak menangis, jangan terlalu risau berfikir untuk kelihatan cantik kerana kita sebagai pelakon telah menggalas tanggungjawab untuk menjiwai watak yang diberikan dan menyampaikannya dengan baik kepada penonton.

“Anzalna juga mengingatkan saya bahawa bakat lebih penting dan itu yang akan membuatkan penonton ingat lakonan kita,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, berbicara mengenai Anzalna, Afifah berkata kakaknya itu seorang yang sangat positif dan sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

“Saya tak kisah sebenarnya kalau orang nak bandingkan atau samakan kami kerana secara hakikatnya kami memang adik-beradik.

“Tapi macam mana punk ami ada kelainan masing-masing, dia ada cara dia dan saya dengan cara. Kalau dilihat dengan teliti pasti penonton akan nampak perbezaan lakonan kami.

“Saya tahu saya masih baru dalam bidang ini dan tentang mutu lakonan pula masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki.

“Sebab itu saya berterima kasih kepada Anzalna kerana sentiasa memberikan sokongan dan galakan terhadap kerjaya saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan terbaru, Afifah memegang watak utama dalam drama Pengantinku Jatuh Dari Langit.

Drama 30 episod arahan Idora Abdul Rahman itu turut menampilkan Hafreez Adam, Faye Kusairi, Azhar Sulaiman, Fahad Iman, Kismah Johar dan Azam Pitt.

Pengantinku Jatuh Dari Langit bakal bersiaran pada 30 November ini setiap Rabu dan Khamis, jam 9.00 malam di HyppSensasi (HyppTV 116) dan HyppTV Everywhere (aplikasi mobil HyppTV).

Teks oleh: Mya Amri,