Pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat, akui teruja menanti maklum balas daripada pengguna mengenai haruman sulung miliknya.

Hatta juga kini rancak melancarkan kempen koleksi terbaru harumannya yang dikenali sebagai Beetle Pour Homme untuk lelaki dan Petals Eau de Parfum bagi wanita.

Menurut Hatta, kedua-dua haruman tersebut diilhamkan daripada wajah-wajah tersohor tanah air yang menggabungkan keserasian elemen tenaga dan nuansa.

“Pastinya saya teruja kerana dipertemukan dengan satu lagi cabang bagi menyerlahkan kreativiti saya. Idea saya adalah untuk menyampaikan pada semua bahawa, haruman sangat penting dalam setiap penampilan kita semua.

“Saya bersyukur dapat berganding dengan T/GA yang ternyata memahami segala-galanya tentang diri saya sebagai seorang fesyen,” katanya yang menjalin kerjasama dengan T/GA untuk projek wangian ini.

Tambah Hatta lagi, bauan untuk kedua-dua wangian tersebut dipilih sendiri olehnya dan mengakui sukar untuk mencari yang sesuai.

“Kami perlu teliti dalam memilih bau-bauan kerana saya mahu mengekalkan kualiti dan memastikan baunya betul-betul ekslusif dan ‘mahal’.

“Sebab itu kami mengambil masa sehingga tujuh bulan untuk menyiapkan produk terbaru ini dan yang penting baunya kekal lama kerana ia EDP (Eau De Parfum),” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Kedua-dua wangian yang diperbuat dan diimport dari Switzerland ini telah didaftarkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dijual dengan harga RM65 dan telah dibuka untuk pembelian bermula 18 November ini di http://mitiiga.com sebelum diedarkan menerusi stokes di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.