Pelakon Randy Pangalila mengakui berasa gembira kerana dapat 'membawa' negara kelahirannya, Indonesia dalam telemovie terbaharu Oh My English (OME) : Road to Jogja.

Randy Pangalila atau nama sebenarnya Randy Dionisius Pangalila, 25, berkata dia menerima tawaran lakonan dalam OME kerana ingin memperkenalkan negaranya itu kepada orang ramai.

"Saya menerima tawaran lakonan ini kerana ingin memperkenalkan negara saya iaitu Indonesia kepada ramai orang mengenai pelbagai tempat menarik yang terdapat di sana.

"Ini kerana saya mahu orang ramai mengetahui bahawa terdapat pelbagai tempat menarik serta sejarah yang ada di sana terutamanya di Jogja.

"Secara jujurnya saya amat gembira kerana dapat memperkenalkan pelbagai tempat menarik dan keindahan yang harus dikongsikan kepada orang ramai di luarsana terutamanya masyarakat di Malaysia," katanya kepada Astro Gempak.

Randy berkata demikian ketika di tanya mengenai kenapa dia menerima tawaran untuk berlakon di dalam telemovie Oh My English (OME) : Road to Jogja, di GSC Cinema, Pavillion, Kuala Lumpur, disini Rabu.

Turut hadir sama pada majlis itu ialah Jihan Muse, Juzzthin, Mark Adam, Roax Tan dan Elfira Loy.

Oh My English (OME) : Road to Jogja bahagian satu dan dua bakal bersiaran pada 3 dan 11 Disember ini di saluran Astro TVIQ (610), Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) pada pukul 9 malam.

OME ini bakal menyaksikan kemunculan tiga teraju pertamanya iaitu Zack, SeeYew Soon dan Mazlee bersama beberapa selebriti terkenal yang akan memeriahkan perjalanan kedua-dua telefilem ini.

Ia menceritakan bagaimana mereka bertiga ingin mencapai impian bergelar chef dan pengusaha kafe yang berjaya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi