Datuk Siti Nurhaliza Kumpul 300 Lagu Untuk Material Album Terbaru

23 November 2016. 5.41 PM
19,879
Hiburan
Datuk Siti Nurhaliza Kumpul 300 Lagu Untuk Material Album Terbaru
Penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza berjaya mengumpulkan 300 buah lagu untuk dijadikan material untuk album solo terbarunya.

“Sebanyak 300 buah lagu berjaya dikumpulkan untuk dijadikan material bagi album terbaru saya. Lagu tersebut datang dari pelbagai lapisan komposer dari Malaysia dan Indonesia.

“Lagu-lagu tersebut pula ada yang dicipta oleh komposer lama yang berpengalaman dan ada juga nama-nama baru dalam dunia muzik,” kata Siti kepada Astro Gempak.

Pelantun lagu Terbaik Bagimu ini turut meletakkan sasaran agar album solo terbarunya akan muncul selewat-lewatnya pada Mac 2017.

“Saya dan tenaga produksi akan melakukan proses ‘shorlist’ bagi 300 buah lagu tersebut. Tak kisah siapa yang menciptanya asalkan lagu tersebut mempunyai melodi yang sedap didengar dan susunan muziknya segar,” katanya ketika ditemui sewaktu majlis ulangtahun Yonder Music yang pertama pada Selasa.

Dalam pada itu, Siti bersama 28 ahli keluarga baru sahaja pulang dari Portugal, Sepanyol dan Dubai.

Rombongan percutian itu turut disertai oleh krew produksi Astro yang merakamkan perjalanan Siti dan keluarga sepanjang 20 hari bermula 2 November lalu.

“Menerusi program yang diberi nama CTDKation, kami mengembara ke beberapa lokasi menarik sekitar Portugal, Sepanyol dan Dubai. Kami banyak singgah di lokasi peninggalan Islam dan belajar pelbagai sejarah Islam.

“Program ini tidaklah berbentuk realiti 100 peratus tetapi CTDKation turut menyelitkan informasi mengenai tempat-tempat yang kami lawati,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @galeriariani

Artikel Berkaitan


Komen