Biarpun sudah hampir tujuh tahun menjadi suara latar kartun animasi popular Upin & Ipin, Asyiela Putri, 16, akui tidak pernah timbul rasa bosan.

Sebaliknya dia menyifatkan karakter itu sudah sebati dengan dirinya walaupun usianya kini sudah semakin menginjak remaja.

“Tak pernah pula saya rasa bosan bawa watak ini sebaliknya saya lebih seronok kerana Upin & Ipin ini sudah seperti sebahagian diri saya.

“Sejak usia 10 tahun saya dah ‘jadi’ mereka, rasanya memang tak ada timbul rasa bosan cuma tak dinafikan kadang-kadang sedikit penat sebab saya masih bersekolah,” katanya kepada Astro Gempak.

Asyiela ditemui ketika majlis pelancaran saluran Upin&Ipin bersama kawan-kawan di Astro First bertempat di The Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, berbicara mengenai pengalihan suara, Asyiela memberitahu dia perlu menjiwai skrip yang diberikan untuk mendapatkan mood yang betul.

“Ya memang orang yang tak nampak reaksi muka ingatkan kerja itu mudah, tapi sebenarnya tidak seperti yang disangka kerana perlu bermain dengan intonasi suara.

“Bagi saya bahagian yang sedikit sukar adalah apabila kena menangis, saya kena tukar mood untuk jadi sedih.

“Sebab biasanya Upin, Ipin terkenal denagn sikapnya yang ceria jadi bila kena jadi sedih rasa sukar sikitlah. Tapi Alhamdulillah, saya berjaya lakukan dengan tunjuk ajar pelakon-pelakon lain,” ujarnya.

Saluran Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan akan mula bersiaran secara eksklusif di Astro First (saluran 480) mulai 1 Disember depan dengan hanya RM 15.90 (termasuk GST).

Saluran istimewa ini akan disiarkan secara berterusan selama tiga hari atau 72 jam dari waktu pembelian.


Teks oleh: Mya Amri